Beberapa laluan di Kota Tinggi terjejas akibat banjir

Β 

KOTA TINGGI, 3 Jan — Beberapa laluan di daerah Kota Tinggi terjejas akibat dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak dua hari lepas, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora.

Beliau berkata terdapat laluan yang langsung tidak boleh dilalui namun masih ada yang boleh dilalui kenderaan dan pengguna.

β€œAntara yang terjejas ialah Jalan Sungai Sayung-Bandar Tenggara (berhampiran Loji Air SAJ Sungai Sayung) yang ditutup kepada semua kenderaan sejak 1.15 pagi tadi dengan keadaan paras air sedalam 0.5 meter membabitkan laluan sepanjang 300 meter,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya laluan di Ladang Siang Bandar Penawar dan Lok Heng Mawai dengan kedalaman air masing-masing antara 0.2 hingga 0.34 meter turut menjejaskan jalan sepanjang 500 meter dan hanya kenderaan berat serta pacuan empat roda dibenarkan lalu di kawasan itu.



Hussin juga berkata laluan Johor Bahru-Mersing berhampiran Ladang Getah Malaysia hanya boleh dilalui kenderaan berat manakala laluan Semangar Dalam dekat Jalan Kota Tinggi-Kulai berhampiran jambatan masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

β€œKawasan yang terjejas di Jalan Tun Sri Lanang (Pusat Bandar Kota Tinggi) dan Jalan Mersing-Kota Tinggi ketika ini sedang dinaiki air tetapi masih boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menugaskan beberapa anggota di kawasan terbabit bagi mengawal keadaan di samping menasihati pengguna supaya mematuhi arahan pihak berkuasa.

Katanya polis juga akan sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan kediaman penduduk untuk mencegah jenayah selain menasihati orang ramai supaya tidak menjadikan banjir sebagai musim pesta air bagi mengelak kejadian tidak diingini.



Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai banjir boleh menghubungi Bilik Gerakan Banjir PDRM Kota Tinggi di talian 07-883 2158.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker