Banjir: Penduduk gesa projek dalamkan Sungai Tebrau disegerakan


Pemandangan udara menunjukkan sebahagian kawasan bandar Kota Tinggi yang dilanda banjir hari ini. Kota Tinggi merupakan daerah yang terjejas teruk ekoran banjir kali ini melibatkan seramai 2,029 mangsa daripada 514 keluarga dan penduduk kini ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS). –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

04/01/2021 05:11 PM

JOHOR BAHRU, 4 Jan — Penduduk di tiga buah kampung dalam Mukim Kangkar Tebrau yang terjejas teruk akibat banjir kelmarin, memohon kerajaan supaya menyegerakan projek melebar dan mendalamkan Sungai Tebrau bagi memastikan kejadian banjir tidak berulang pada masa depan.

Ketua Mukim Kangkar Tebrau Jawahir Ali berkata rancangan untuk memperdalam dan melebarkan sungai itu pernah dibincangkan oleh pihak berwajib pada 2019, namun belum dapat dilaksanakan, dipercayai sebab kos projek yang tinggi.



Beliau berkata kali terakhir kerja-kerja memperdalam sungai tersebut ialah kira-kira lapan tahun lepas tetapi hanya melibatkan kerja-kerja mengorek pasir dari dasar sungai.

“Jadi jika kerja memperdalam dan melebarkan sungai ini dilakukan, kita yakin masalah banjir dapat diatasi.

“Ini kerana pada masa ini apabila hujan berterusan dan bertembung pula dengan kejadian air pasang, air sungai cepat melimpah ke darat sehingga turut menjejaskan kawasan tebing iaitu laluan kampung dan perumahan penduduk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jawahir berkata dalam Mukim Kangkar Tebrau terdapat lebih 20,000 penduduk dan sembilan buah kampung, namun hanya tiga buah kampung iaitu Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau sering terjejas apabila berlaku limpahan sungai berkenaan.



Beliau berkata seramai 296 mangsa daripada 76 keluarga dari kawasan berkenaan telah dipindahkan kerana air sungai memasuki rumah mereka dan sudah tiba masanya projek memperdalam sungai itu disegerakan selain menyenggarakan rekahan yang telah wujud di tebing sungai dan jalan yang digunakan penduduk.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan yang menjalankan ternakan kambing di kawasan Kangkar Tebrau, Osman Cheya Kutty berharap projek terbabit akan merangkumi keseluruhan jajaran Sungai Tebrau, bermula dari hulu sungai di Kulai sehinggalah ke kawasan muara di Johor Bahru (Tebrau).

“Kalau setakat tertumpu di kawasan ini (Kangkar Tebrau) sahaja, masalah banjir ini tidak akan dapat diatasi sepenuhnya kerana punca air bermula dari hulu sungai,” katanya.

Sementara itu,Afiq Suhaimi, 25, dari Kampung Paya Kenangan, turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembinaan tembok penghadang konkrit di tebing sungai itu bagi menghalang limpahan sungai.



“Cadangan melebar dan mendalamkan sungai itu bagus tetapi adalah lebih baik jika tembok penghadang dibina terlebih dahulu sebagai langkah jangka pendek untuk mengelakkan kejadian sama berlaku.

“Kita (penduduk) di sini sudah jenuh berhadapan dengan bencana banjir setiap kali hujan lebat,” katanya ketika ditemui semasa sedang membersihkan perabot rumahnya yang ditenggelami air banjir dua hari lepas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa Mazlan Bujang yang dihubungi mengesahkan mereka mengambil maklum tentang perancangan projek melebar dan mendalamkan sungai berkenaan namun tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya.

“Saya difahamkan masalah utama untuk melaksanakan projek ini sekarang ialah kerana kos tetapi maklumat lanjut mengenainya masih belum diperolehi memandangkan cadangannya masih di peringkat awal,” kata Mazlan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button