Hampir keseluruhan bandar Maran dinaiki air

04/01/2021 12:34 AM

KUANTAN,3 Jan — Hampir keseluruhan bandar Maran yang terletak kira-kira 70 kilometer dari sini dinaiki air susulan hujan berterusan sejak malam semalam, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Beliau berkata beberapa kawasan di daerah itu turut dilanda banjir iaitu Kampung Sri Jaya, Taman Maran Jaya, Kampung Ulu Luit, Kampung Bak Bak, Taman Maran Damai dan Felda Bukit Tajau.



“Maran merupakan antara daerah yang teruk dilanda banjir kali ini sehingga beberapa jalan di bandar berkenaan juga tidak dapat digunakan susulan dinaiki air malah anggota bomba telah memindahkan mangsa yang terjejas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini hari ini.

Bagaimanapun, Wan Mohammad Zaidi berkata tinjauan pihaknya mendapati situasi banjir di daerah itu semakin pulih pada sebelah petang berbanding waktu pagi susulan air mulai surut.

Beliau juga mengingatkan mangsa banjir agar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diarahkan berbuat demikian oleh anggota keselamatan.

“Terdapat mangsa banjir yang enggan berpindah dan mahu duduk di rumah masing-masing sehingga keadaan pulih, kami harap mereka patuh kepada nasihat dan berpindah demi keselamatan diri,” katanya.



Mengulas mengenai mangsa banjir melibatkan Orang Asli di kawasan pedalaman, Wan Mohammad Zaidi berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli bagi mendapatkan maklumat dan situasi terkini komuniti itu.

“Kita juga akan sentiasa membuat tinjauan dari semasa ke semasa dan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan esok, kami akan meminta bantuan Bahagian Udara JBPM untuk membuat tinjauan menggunakan helikopter,” katanya.

Beliau juga berkata lebih 900 anggota bomba akan terlibat dalam operasi sepanjang musim banjir ini dengan 89 kenderaan digerakkan.

— BERNAMA



Beberapa kawasan di Raub dinaiki air akibat hujan berterusan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button