Jumlah pampasan bagi pembatalan projek HSR tidak boleh didedahkan – Mustapa

04/01/2021 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Jumlah pampasan bagi pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak boleh didedahkan kerana ia di bawah Perjanjian Dua Hala, dan kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura terikat dengan klausa kerahsiaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam laman Facebook beliau berkata jumlah pampasan masih belum dimuktamadkan.

“Pihak kita sedang menunggu butiran kos tersebut daripada Singapura, dan sebaik sahaja diterima, ia akan diteliti sebelum disahkan. Jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan telahpun dipersetujui bersama.



“Bagaimanapun, saya dan pasukan akan berbincang dengan pihak Singapura untuk mendapat persetujuan bagi berkongsi maklumat mengenai jumlah pampasan tersebut setelah ia dimuktamadkan,” katanya.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata pampasan tersebut bukan bersifat punitif, tetapi untuk membayar semula kos tertentu projek yang telah dibelanjakan Singapura.

“Justeru itu, sebarang angka mengenai pampasan yang disebutkan oleh mana-mana pihak merupakan spekulasi semata-mata,” jelasnya.

Mengenai spekulasi projek kereta api laju Kuala Lumpur-Johor Bahru menggantikan HSR, beliau berkata ia hanyalah spekulasi, dan kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci untuk menentukan hala tuju seterusnya.



Beliau menjelaskan kerajaan telah mencadangkan struktur HSR baharu yang lebih kemas dan model itu digunakan secara meluas di seluruh dunia, antaranya di Eropah, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan, hasil daripada kajian semula keseluruhan projek tersebut.

“Cadangan struktur projek baharu itu juga mengelak kerajaan daripada memberikan jaminan berjumlah RM60 bilion selama 30 tahun.

“Selain daripada itu, kita juga telah mencadangkan beberapa perubahan lain termasuklah perubahan kepada jajaran dan reka bentuk stesen yang kesemuanya akan mengurangkan perbelanjaan kira-kira 30 peratus.

“Kesemua cadangan di atas dapat mengurangkan kos dan pada masa sama mengekalkan faedah projek,” katanya.

Namun, Mustapa berkata kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat menerusi sidang video antara Perdana Menteri Malaysia dan Singapura pada 2 Dis 2020.

“Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam perbincangan dua hala sejak enam bulan lepas, ingin saya tegaskan bahawa kami telah melakukan yang terbaik demi menjaga kepentingan negara.

“Kerajaan akan terus mengadakan perbincangan untuk meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara untuk manfaat bersama.

“Walaupun perjanjian dua hala ini telah luput, Malaysia dan Singapura akan terus bekerjasama rapat dalam mengukuhkan integrasi rentas sempadan bagi memastikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi yang mampan di kedua-dua negara,” katanya.

Perjanjian Dua Hala yang ditandatangani dengan Singapura pada 13 Disember 2016 menekankan hasrat untuk menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih rapat antara dua negara.

HSR dicadangkan pada 2010 sebagai antara inisiatif Program Transformasi Ekonomi, dan kemudiannya ditangguhkan pada Mei 2018 selepas pilihan raya umum ke-14 berikutan kajian semula terhadap beberapa komitmen pelaburan utama kerajaan.

Jumlah pampasan batal projek HSR tidak boleh didedah, kata menteri

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker