Jumlah pampasan batal projek HSR tidak boleh didedah, kata menteri


© Provided by Free Malaysia Today Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, angka pampasan yang…

PETALING JAYA: Kerajaan tidak boleh mendedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Putrajaya berikutan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura (HSR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, ini kerana di bawah Perjanjian Dua Hala, kedua-dua negara terikat dengan klausa kerahsiaan.

“Bagaimanapun saya dan pasukan akan berbincang dengan pihak Singapura untuk mendapat persetujuan bagi berkongsi maklumat mengenai jumlah pampasan tersebut setelah ia dimuktamadkan.



“Justeru itu, sebarang angka mengenai pampasan yang disebutkan oleh mana-mana pihak merupakan spekulasi semata-mata,” katanya di Facebooknya.

Pada 1 Jan, Kementerian Pengangkutan Singapura mengesahkan projek HSR dibatalkan.

Dalam kenyataannya, kementerian itu juga memaklumkan bahawa Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala yang dimeterai sebelum itu.

Terdahulu, sumber di Putrajaya memberitahu FMT bahawa pampasan yang perlu dibayar oleh Malaysia kepada Singapura adalah sekitar RM320 juta.



Dalam pada itu, Mustapa berkata, jumlah pampasan yang perlu dibayar belum dimuktamadkan.

Beliau menegaskan pampasan tersebut bukan bersifat punitif, tetapi bertujuan membayar semula kos tertentu projek yang dibelanjakan oleh Singapura.

“Walaupun saya amat berkeinginan untuk berkongsi perinciannya, ia tidak dapat dilakukan.

“Pihak kita sedang menunggu butiran kos tersebut daripada Singapura, dan sebaik sahaja diterima, ia akan diteliti sebelum disahkan.

“Jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan telah pun dipersetujui bersama,” katanya.

Mustapa juga berkata hubungan Malaysia dan Singapura masih baik dan kedua-dua negara akan terus bekerjasama rapat dalam mengukuhkan integrasi rentas sempadan bagi memastikan pertumbuhan serta kemajuan ekonomi yang mampan.

Beliau tidak menolak usaha menghubungkan kedua-dua negara melalui kesalinghubungan berkelajuan tinggi pada masa hadapan akan terus diteroka.

“Walaupun hasrat ini tidak tercapai sekarang, mungkin suatu masa nanti,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci bagi menentukan hala tuju seterusnya.

Perjanjian dua hala yang ditandatangani pada 2016 ditangguhkan atas permintaan Malaysia sejak Sept 2018 dengan tarikh akhir bagi lanjutan penangguhan tersebut tamat hujung tahun lepas.

Pada Nov, sumber memberitahu FMT bahawa Putrajaya bercadang meneruskan projek itu tanpa Singapura.

Ia berkata, laluan baru yang dicadangkan akan menghubungkan Kuala Lumpur dengan Johor Bahru.

Sumber : FMT

Batal HSR- Negara Kehilangan 70 ribu peluang perkerjaan dan RM209 billion PNK

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker