Kebakaran di Pekan Koboi: Maklumat sedang dikumpul untuk bantu mangsa


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee (kanan) melihat rumah mangsa kebakaran ketika melawat kawasan kebakaran di Telok Wanjah hari ini. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

03/01/2021 11:12 PM

ALOR SETAR, 3 Jan — Kerajaan Negeri Kedah sedang mengumpul maklumat berkaitan kebakaran melibatkan sembilan rumah kedai dua tingkat di Jalan Tunku Abdul Halim di sini bagi memperincikan bantuan yang sesuai untuk disalurkan kepada mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah Dr Robert Ling Kui Ee berkata perbincangan bersama Persatuan Penduduk Kawasan Telok Wanjah dan beberapa agensi lain itu sedang berlangsung.



“Kita akan adakan perbincangan secara teliti dengan persatuan penduduk bagi membantu mangsa yang terjejas kerana buat masa ini, ada di antara mereka yang terpaksa menumpang di rumah jiran serta ahli keluarga lain berikutan rumah mereka musnah akibat kebakaran.

“Kita sedang menunggu laporan forensik daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Dari situ baru boleh tahu jumlah kerugian dan mungkin selepas itu, kita boleh tolong carikan rumah yang mampu untuk disewa atau bantu baiki rumah asal mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan kebakaran hari ini.

Beliau berkata buat masa ini, tiada rumah transit disediakan kepada mangsa namun perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.

“Bantuan barangan seperti makanan dan pakaian sudah mencukupi. Sekarang kita mahu bantu untuk pastikan mereka ada tempat tinggal dan dianggarkan ia memerlukan kos antara RM300,000 hingga RM400,000 untuk membina semula rumah yang musnah akibat kebakaran ini,” katanya.



Pada 31 Dis lepas, sembilan rumah kedai dua tingkat di Jalan Tunku Abdul Halim, Kampung Baru atau lebih terkenal sebagai β€˜pekan koboi’ dalam kalangan penduduk setempat musnah dalam kebakaran pada kira-kira 1.13 tengah hari namun tiada kemalangan jiwa ataupun kecederaan dilaporkan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker