MT UMNO buat ketetapan Rabu depan isu kerjasama dengan Bersatu pada PRU15


Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi ucapan ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian dan Sayap Umno Bahagian Bagan Datuk 2020 di Kompleks Umno Bagan Datuk hari ini. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

03/01/2021 10:56 PM

BAGAN DATUK, 3 Jan — UMNO akan membuat ketetapan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti pada Rabu depan berhubung isu sama ada ingin bekerjasama dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti atau sebaliknya.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata perkara itu akan dibincang pada mesyuarat tersebut selepas 143 daripada 191 Ketua Bahagian UMNO bersetuju dengan usul menolak kerjasama berkenaan setakat ini.

“Usul itu dikemukakan menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp antara Ketua-Ketua Bahagian dan saya sebagai Presiden menghormatinya maka usul berkenaan harus dikaji dan dibincangkan di peringkat MT.

“Saya harap keputusan yang dibuat nanti diterima semua ahli parti terutama 38 Ahli Parlimen daripada UMNO atau parti yang berada dalam kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Sayap UMNO Bagan Datuk 2020 di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata PRU15 perlu disegerakan supaya Malaysia memiliki kerajaan yang stabil bagi memastikan para pelabur tidak mengalihkan modal mereka ke negara lain.

Ditanya mengenai kenyataan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam yang menyatakan bahawa UMNO secara keseluruhan hanya akan bekerjasama dengan PAS dalam menghadapi PRU15, Ahmad Zahid berkata ia dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu atas kapasitinya sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO.

“Sudah tentu kenyataan itu keluar setelah beliau selesai melawat semua negeri di Semenanjung Malaysia dan juga akan melawat Sabah.

“Saya akan meminta penjelasan Tajuddin (mengenai) apakah maksud yang tersurat dan tersirat dalam kenyataan itu dan seterusnya dibawa kepada MT untuk diteliti,” katanya.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa Bersatu telah ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli UMNO, beliau berkata ia dibuat pemimpin itu setelah menilai dapatan kajian yang mempunyai asas serta fakta.

Asyraf Wajdi dilaporkan berkata setiap ahli UMNO yang menyertai Bersatu akan dibayar RM100 manakala peruntukan sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 diberikan kepada setiap cawangan yang ditubuhkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *