Malaysia bakal menyertai Cobra Gold ke-43

 

Oleh Pena Merah

Malaysia bakal menyertai Cobra Gold ke-43
Malaysia bakal menyertai Cobra Gold ke-43, latihan ketenteraan multinasional paling lama dan terbesar di dunia, bersama tentera dari 30 negara yang akan diadakan di Thailand pada akhir Februari.

Malaysia bakal menyertai Cobra Gold ke-43, latihan ketenteraan multinasional paling lama dan terbesar di dunia, bersama tentera dari 30 negara yang akan diadakan di Thailand pada akhir Februari.

Dihoskan bersama oleh Tentera Diraja Thailand dan Komando Indo-Pasifik Amerika Syarikat (AS), eksesais pada tahun ini akan menyaksikan penyertaan daripada 9,590 kakitangan negara yang terbabit.



Latihan ketenteraan itu akan diadakan antara 27 Februari hingga 10 Mac.

Eksesais tahunan itu bertujuan untuk membangunkan hubungan ketenteraan yang baik antara sekutu yang mengambil bahagian; untuk meningkatkan kapasiti menjalankan operasi bersama dan pelbagai hala dengan menyesuaikan mobilisasi dalam pelbagai situasi kecemasan dan berlatih mengikut prosedur untuk pasukan multinasional.

Atase Pertahanan di Kedutaan Malaysia di Thailand, Brigedier Jeneral Samsul Rizal Musa, berkata ia penyertaan kali ketujuh Malaysia dalam Cobra Gold.

“Tahun ini kira-kira 80 anggota tentera Malaysia akan menyertai latihan tahunan itu,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.



Malaysia antara tujuh negara yang mengambil bahagian sepenuhnya pada edisi kali ini selain Thailand, AS, Singapura, Indonesia, Jepun dan Korea Selatan.

Sebanyak 10 negara menyertai pasukan Multinational Planning Augmentation – Bangladesh, Kanada, Perancis, Mongolia, Nepal, New Zealand, Filipina, Fiji, United Kingdom dan Brunei dan 10 negara menyertai pasukan Combined Observer Liaison – Kemboja, Laos, Brazil, Pakistan, Vietnam, Jerman, Sweden, Republik Hellenic (Greece), Kuwait dan Sri Lanka.

China dan India menyertai latihan bantuan kemanusiaan, manakala Australia menyertai Command Post Exercise (CPX).

Latihan utama tahun ini, termasuk Bantuan Kemanusiaan/Sivik (HCA), antaranya pembinaan bangunan pelbagai guna di lima tapak projek dan Disaster Relief Tabletop Exercise (HADRTTX) yang menunjukkan peranan tentera dalam bertindak balas terhadap bencana alam di peringkat serantau dan antarabangsa.



Selain itu, CPX iaitu latihan mengendalikan semua operasi domain – darat, laut, udara, siber dan angkasa serta Field Training Exercise (FTX), termasuk latihan silang dan latihan lapangan untuk tentera darat, laut dan udara turut akan diadakan.

Thailand dan AS akan melaksanakan latihan menyelamat HTMS Sukhothai yang karam di Teluk Thailand pada tahun 2022.

HTMS Sukhothai yang membawa 105 kelasi, mengalami kegagalan enjin dan karam kira-kira 20 batu nautika dari Wilayah Prachuap Khiri Khan kira-kira jam 11.30 malam pada 18 Disember 2022.

RTN menyelamatkan 76 kelasi daripada kejadian itu tetapi 24 ditemukan mati dengan tambahan lima lagi mangsa dianggap hilang.



Duta AS ke Thailand, Robert F Godec, berkata tahun ini Cobra Gold akan terus menyediakan asas yang kukuh untuk keselamatan serantau dan kemakmuran inklusif untuk semua.

“Cobra Gold ke-43 ini adalah bukti kekuatan hubungan kami. Latihan ini dan perkongsian kami adalah lebih relevan dan penting berikutan cabaran terhadap keselamatan serantau,” katanya.

-BERNAMA-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button