Peniaga bimbang hilang punca pendapatan ekoran banjir
Paras air banjir mencecah 2.8 meter di Bandar Kota Tinggi pada pagi in
04/01/2021 11:32 AM
Oleh Nurul Izzatul Hani Seman dan Izzah Hazirah Hamsidin
JOHOR BAHRU, 4 Jan — Ekoran banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini, golongan peniaga paling terkesan terutama peniaga kecil-kecilan yang bimbang hilang punca pendapatan akibat hujan berterusan.
Seorang peniaga gerai makanan di Kampung Sentosa Persiaran, Masai, di sini, Roszita Mohd Nasir, 38, berkata beliau terpaksa menanggung kerugian kerana barang basah dan kering untuk masakan yang disimpan di rumahnya semua musnah akibat terendam dalam banjir.
“Sebelum ini dalam satu hari tu boleh dapat dalam RM300 tapi sejak banjir Jumaat lalu, saya memang tak dapat nak berniaga…memang hilang sumber pendapatan kami sekeluarga,” kata ibu kepada tiga orang anak itu kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat Kg Cahaya Baru, Masai, hari ini.
Tambah Roszita, perniagaan gerai makanannya itu diusahakan secara kecil-kecilan semenjak tiga tahun lepas dan menjadi punca pendapatan keluarga selepas suaminya tidak bekerja sejak Mac tahun lalu berikutan pandemik COVID-19.
Beliau berkata musibah banjir itu amat menguji mereka yang sudah empat tahun menyewa di kawasan itu dan menumpang berniaga di hadapan rumah jirannya dengan bayaran sewa RM15 sehari untuk bayaran elektrik dan air.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata penduduk di kampung berkenaan mula membersihkan rumah masing-masing dan mengeluarkan perabot serta barang berharga yang terselamat.
Bagi Muhamad Razak, 44, yang merupakan penduduk Kampung Sentosa Damai berkata banjir pada kali ini adalah yang paling teruk sejak beliau menetap di situ.
“Pada mulanya air naik dari petang Jumaat sampai paras kaki, lepas tu Jumaat malam hujan berhenti sekejap..pagi Sabtu tiba-tiba air dah naik lagi sampai petang semalam, lebih kurang satu meter.
“Saya tak sangka dalam masa 10 minit jer air dah naik setinggi itu,” katanya.
Muhammad yang baru pulang dari PPS untuk membersihkan rumahnya, berkata ahli keluarganya masih berada di pusat pemindahan itu.
Menurutnya, kebanyakan barang masih boleh diselamatkan cuma barang yang disimpan di bawah rumah sahaja yang ditenggelami air banjir.
Banjir yang melanda Kampung Sentosa Damai, Kampung Sentosa Barat serta Kampung Sentosa Persiaran itu memaksa kira-kira 226 penduduknya dipindahkan ke PPS berkenaan.