Hayati matlamat pendidikan anak selaras tuntutan Islam

Kesempatan cuti persekolahan pastinya memberi ruang besar buat ibu bapa menyusun dan mengatur langkah bagi sesi persekolahan baharu.

Pastinya, ibu bapa turut mengambil kesempatan dalam ruang ini menghabiskan masa cuti bersama anak, membina hubungan lebih harmoni, menyuburkan kasih sayang dan tidak kurang juga mengambil peluang mengenali watak anak yang semakin membesar.

Ia turut menyediakan ruang terbaik buat ibu bapa kembali melakukan muhasabah dan memperbetulkan niat serta tujuan sebenar menghantar anak ke sekolah.

Persekolahan dan pendidikan tidak dinafikan sebagai suatu keperluan. Ia ruang disediakan supaya anak yang dihantar ke sekolah mendapat didikan dan pelajaran yang mampu membentuk keperibadian baik serta berakhlak.



Perbahasan berkaitan makna pendidikan sering berkisar mengenai usaha pembaharuan hal ehwal yang berkaitan pelajar, mendidiknya, menyantuninya dan memberikan hak kepada pelajar itu secara berterusan dengan penuh komited.

Istilah pendidikan memiliki erti yang sama halnya dengan perbincangan yang ada dalam al-Quran. Istilah pendidikan dalam al-Quran turut merangkumi maksud ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan pendidikan.

Firman Allah SWT, “Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah”. Akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. (Surah al-Imran, ayat 79).

Menurut al-Baidawi, kalimah al-Rabb berasal pada awalnya dengan erti pendidikan. Hal ini adalah suatu usaha untuk membawa sesuatu ke tahap kesempurnaan secara berperingkat.



Al-Ragheb al-Isfahani pula berkata, pendidikan Islam juga ditakrifkan sebagai mengikuti manhaj Islam dalam didikan terhadap individu Muslim melalui kaedah secara bertahap.

Dengan cara ini yang merangkumi semua aspeknya, pasti mampu mencapai kebahagiaan bagi seseorang itu di dunia dan akhirat.

Pendidikan Islam mempunyai satu set tujuan dan matlamat yang harus dicapai. Tujuan ini dijelaskan sebagai berikut:

Pertama, membentuk rasa kehambaan kepada Allah SWT. Rasa perhambaan kepada Allah Yang Maha Esa adalah matlamat umum tertinggi yang ingin dicapai oleh pendidikan Islam.



Menyembah Allah Yang Maha Esa dan menunaikan kewajipan kekhilafan di bumi adalah tujuan utama manusia itu diciptakan. Perkara ini tidak akan mampu dicapai melainkan dengan pendidikan.

Kedua, membina asas akidah yang mantap. Hal ini bertujuan mewujudkan individu yang soleh yang menyembah Allah Yang Maha Tinggi berdasarkan petunjuk dan matlamat atas asas kesedaran sendiri.

Ketiga, mencirikan individu Muslim dengan akhlak yang baik. Anak perlu dididik supaya berakhlak seperti akhlaknya Nabi Muhammad SAW yang memiliki ketinggian dan keindahan sebagaimana digambarkan Allah SWT dalam firman-Nya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia (Surah al-Qalam, ayat 4).

Keempat, meningkatkan kepedulian dan rasa kebersamaan dalam komuniti Islam. Pendidikan seharusnya meningkatkan rasa kebersamaan terhadap sesama umat Islam dengan memperhatikan pelbagai masalah dan keperluan mereka. Hal ini dapat dilakukan dengan mengikat persaudaraan dalam kalangan masyarakat Islam yang menyumbang kepada kebangkitan Islam berteraskan syariat Allah SWT.



Kelima, menggapai kebahagiaan insan di dunia dan akhirat. Pendidikan berperanan membentuk cara fikir supaya bersederhana dalam membina kehidupan dunia antara keperluan material dengan sisi kerohanian manusia tanpa membataskan atau mengurangkannya antara satu dengan yang lain.

Kesederhanaan ini akan melahirkan insan yang bijak dalam membentuk kehidupan seimbang antara keperluan duniawi dan kepentingan ukhrawi.

Firman Allah SWT, “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka” (Surah al-Baqarah, ayat 201).

Keenam, mempersiapkan umat untuk menyebar mesej Islam. Ini dilakukan dengan membina generasi yang mampu menyebarkan mesej Islam ke seluruh alam, menegakkan kebenaran dan keadilan dalam kalangan manusia serta mengangkat kalimah Allah SWT ke serata dunia.



Ketujuh, menanamkan nilai keimanan dalam jiwa. Pendidikan Islam juga bermatlamat untuk membangunkan manusia dan nilai kemanusiaan berdasarkan kesatuan serta kesamarataan sesama insan.

Hal ini boleh dilakukan dengan menanam nilai keikhlasan dan membangkitkan niat baik dalam jiwa manusia, mendorong kesabaran, kejujuran, keyakinan serta rasa kepatuhan kepada Allah SWT.

Penetapan tujuan dan matlamat pendidikan terhadap anak adalah suatu hal yang cukup penting serta perlu diberi perhatian sewajarnya.

Ibu bapa bertanggungjawab menentukan hala tuju pendidikan dan kehidupan anak dengan memberi kefahaman supaya mereka dapat membina keseimbangan antara tuntutan kehidupan dunia yang sementara dengan kehidupan akhirat yang kekal selamanya.



Membentuk asas fikir seperti ini akan menjadikan generasi yang bakal lahir untuk bangkit memimpin tamadun ‘khayra ummah’ sebagai satu generasi yang mampu menyantuni keperluan masyarakat dengan seimbang, mengajak yang kaya untuk membantu yang miskin dan fakir, yang berkuasa untuk menyantuni rakyat dengan penuh keadilan, mengambil peduli segala keperluan masyarakat tanpa mengabaikan kepentingan pengabdian diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Surah al-Imran, ayat 18).

Penulis adalah Pensyarah Akademik di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button