Tanah runtuh akibat hujan lebat, 14 peniaga terpaksa henti operasi
03/01/2021 10:49 PM
KUALA TERENGGANU, 3 Jan — Seramai 14 peniaga gerai di Kampung Geliga di Hulu Chukai, Kemaman diarah menghentikan operasi selepas berlaku kejadian tanah runtuh di belakang deretan premis mereka petang tadi.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Azman Alias berkata kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran Masjid Geliga itu adalah disebabkan hujan lebat berterusan sejak pagi.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang dan 10 anggota dari Pejabat Zon 2 Terengganu serta Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman dikerahkan ke tempat kejadian.
“Hanya satu gerai di bahagian paling hujung yang terjejas akibat runtuhan tanah tersebut dan ketika kejadian, gerai tersebut belum mula beroperasi dan peniaga belum lagi berada di gerainya. Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.
Azman berkata memandangkan masih lagi terdapat pergerakan tanah dan bongkah batu di atas tanah persendirian itu, polis telah bertindak menutup kawasan tersebut kepada orang ramai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Di atas tanah tersebut, terdapat sebuah pencawang telekomunikasi yang berisiko untuk tumbang sekiranya hujan lebat berterusan dan berlaku tanah runtuh.
“Pihak Jabatan Kerja Raya telah berada di lokasi melakukan penilaian dan pihak polis juga telah berada di lokasi bagi memantau keadaan,” katanya.