Tanah runtuh, jalan ditutup, dua nyawa diragut banjir setakat ini

03/01/2021 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan — Situasi banjir dan hujan lebat dalam negara semakin bertambah buruk apabila bencana itu meragut sekurang-kurangnya dua nyawa, selain terdapat individu yang dikhuatiri lemas setelah hilang dihanyutkan arus deras.

Selain itu, beberapa jalan raya turut ditutup akibat dinaiki air, selain hujan lebat berterusan menjadi punca kepada bencana tanah runtuh, menyebabkan hasrat pengguna yang ingin meneruskan perjalanan pulang daripada bercuti atau bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain juga tergendala.



Beberapa buah bandar juga sudah mula mengalami banjir iaitu seperti Kuantan dan Maran di Pahang dan juga Kluang serta Kota Tinggi di Johor mengakibatkan aktiviti seharian masyarakat terganggu.

Tular juga beberapa video yang diambil warga maya dan dikongsi di aplikasi media sosial menunjukkan cubaan penunggang motosikal yang cuba meredah banjir namun akhirnya berakhir dengan kenderaan mereka dihanyutkan air begitu sahaja.

Sehubungan itu polis mengingatkan dan menasihtakan pengguna jalan raya supaya tidak mengambil risiko berbuat demikian bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Setakat ini dua individu dilaporkan menjadi korban banjir, dengan seorang wanita tempatan Halijah Majid, 59, ditemukan lemas semalam selepas terjatuh ke dalam sebuah longkang dipenuhi air sedalam dua meter di Jalan Setia, Kampung Contoh dekat Kluang, Johor.



Hari ini pula, seorang kanak-kanak lelaki, Muhamad Amsyar Mohd Zamri, 5, lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Jerong Bikam, Sungkai, Perak dipercayai ketika bermain air di sungai itu dalam hujan lebat.

Selain itu, Md Rajihan Junaidi, 28, dikhuatiri lemas selepas lelaki itu hilang dihanyutkan arus bersama kereta Proton Waja dipandunya dalam kejadian di Batu 18, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang dekat Kluang, Johor, petang semalam.

Sementara itu, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa jalan di Pahang terpaksa ditutup akibat tanah runtuh atau dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata Jalan Raub-Bukit Fraser ditutup kepada semua kenderaan pada tengah hari ini ekoran tanah runtuh di Km4 dan Km6 yang menyebabkan laluan di lokasi itu terhalang oleh longgokan tanah serta pokok tumbang.



Situasi bertambah memburuk apabila kira-kira 13 kenderaan terkandas antara dua tanah runtuh dalam kejadian itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan mangsa sedang beransur-ansur dibawa naik semula ke Bukit Fraser dengan berjalan kaki untuk bermalam di Bukit Fraser dengan merentasi kawasan terhalang.

Menurut polis tiada kemalangan jiwa berlaku namun mangsa terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing di tempat kejadian dan diminta berteduh di Dewan Majlis Daerah Bukit Fraser buat masa ini.

Terdapat satu lagi laluan yang ditutup ekoran tanah runtuh iaitu jalan lama Bentong-Raub, Pahang sementara laluan Km198 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) antara Gambang dan Sri Jaya di Kuantan, yang dinaiki air telah dibuka semula pada 3.30 petang kepada semua kenderaan.

Sekurang-kurangnya 15 laluan di Pahang ditutup akibat dinaiki air yang antaranya Jalan Jerantut-Maran, Jalan Padang Piol-Sungai Rentang, Jalan Kota Gelanggi dan Jalan Ulu Retang ke Merting.



Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini pula memaklumkan setakat 4 petang, sebanyak 76 pusat pemindahan dibuka di 14 daerah di seluruh negara.

Ketua Komunikasi Korporat NADMA Nur Daliza Dohat dalam kenyataan tersebut, 76 pusat pemindahan itu yang melibatkan 25 di Pahang dan 51 di Johor menempatkan 7,070 mangsa daripada 1,886 buah keluarga.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran cuaca bahaya dan menjangkakan hujan sangat lebat berterusan di Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Mersing) sehingga esok.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button