TNB tutup 91 pencawang akibat banjir di Pahang dan Johor

03/01/2021 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan — Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan 91 pencawang elektrik di Pahang dan Johor berikutan banjir akibat hujan lebat yang berterusan.

TNB dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu melibatkan 67 pencawang elektrik di Jengka, Maran, Jerantut dan Raub, Pahang dan 24 pencawang di Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kota Tinggi dan Kluang, Johor yang dihenti tugas demi keselamatan pengguna.

“Daripada 24 pencawang elektrik yang telah dihenti tugas di Johor, 13 daripadanya telah diberikan bekalan sementara melalui set jana kuasa mudah alih dan penyambungan semula bekalan elektrik secara kekal atau sementara hanya akan dibuat selepas keadaan dipastikan selamat.

“Seramai 2,300 pengguna di Pahang dan 3,900 pengguna di Johor masih belum mendapat semula bekalan elektrtik setakat ini dan TNB sentiasa bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna elektrik dan pekerja TNB,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Bilik Gerakan TNB di Johor dan Pahang telah diaktifkan hari ini untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan bekalan elektrik.

Para pengguna di kawasan banjir pula dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.

Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air dan mengelakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah atau lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air,” menurut kenyataan itu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker