UMNO, BN buat ketetapan tandingi semua kerusi Parlimen, DUN dimenangi pada PRU14


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi ucapan ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian dan Sayap Umno Bahagian Bagan Datuk 2020 di Kompleks Umno Bagan Datuk hari ini. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

03/01/2021 07:54 PM

BAGAN DATUK, 3 Dis — UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuat ketetapan untuk bertanding di semua kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi BN, berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut memutuskan bahawa semua calon parti itu dan BN yang bertanding pada PRU15 akan menggunakan lambang BN.

“MT UMNO memutuskan bahawa semua kerusi UMNO dan BN sama ada Parlimen atau DUN yang dimenangi pada PRU14 lepas wajib kita ambil alih semula untuk kita tandingi. Kerusi itu UMNO punya, UMNO akan tuntut balik kerusi itu.

“Kita juga tidak akan menggunakan lambang parti lain. Terserah kepada parti lain untuk guna lambang sendiri atau lambang sahabat baharu tapi UMNO dan BN, lawan tetap lawan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Beliau berkata selepas PRU14, seramai 16 Ahli Parlimen UMNO bertindak meninggalkan parti itu sekali gus menjadikan ia kini mempunyai sebanyak 38 kerusi di Dewan Rakyat tanpa mengambil kira kekosongan di Gerik berikutan kematian penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman, pada November lepas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata UMNO dan BN tidak pernah dan tidak akan pernah menyertai Perikatan Nasional (PN) sebaliknya dukungan yang diberikan kepada kerajaan sekarang merupakan sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen sahaja.

“Tindakan menandatangani piagam kerajaan PN pada Mei lepas hanyalah sebagai tanda dukungan kepada kerajaan PN, bukan sokongan kepada pendaftaran parti PN malah tiada piagam baharu yang ditandangani sebagaimana terdapat tular bahawa saya Presiden UMNO selaku Pengerusi BN telah menandatangi piagam baharu,” katanya.

Sambil menegaskan bahawa Majlis Presiden PN diwujudkan bagi memastikan imbang dan periksa kepada dasar kerajaan PN, Ahmad Zahid turut mengingatkan ahli UMNO di semua peringkat agar mengeluarkan kenyataan yang senada dengan pucuk pimpinan.

“Senadalah dengan suara bapa yang istiqmah menjaga rumah induk UMNO itu. Biar pun siapa kita, sama ada ahli di peringkat akar umbi, ada pegang jawatan di cawangan atau bahagian atau peringkat negeri malah nasional, ingatlah bahawa yang meletakkan kita di tempat itu adalah UMNO, bukan orang lain… suara UMNO adalah suara kita, bukan orang lain,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker