Suspek bunuh kanak-kanak warga asing didakwa esok

KUALA LUMPUR: Dua suspek yang ditahan berhubung kes bunuh seorang kanak-kanak perempuan warga asing berusia enam tahun di depan sebuah pusat beli-belah di Jalan Memanda 3, Ampang di sini, akan didakwa esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata suspek yang merupakan ayah tiri dan ibu mangsa akan didakwa di Mahkamah Ampang pada 10 pagi.

“Suspek lelaki berumur 17 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, manakala suspek perempuan berumur 23 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak sementara seorang lagi suspek wanita berumur 63 tahun yang juga nenek mangsa dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 11 Mei lalu, mayat kanak-kanak perempuan warga asing ditemukan di depan kedai makan sebuah pusat beli-belah di Ampang dalam keadaan terbaring serta masih berpakaian lengkap.

Menerusi pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati, terdapat kesan lebam pada beberapa bahagian badan termasuk lengan dipercayai akibat dipukul.

Mangsa dipercayai dipukul ayah tirinya menggunakan objek tumpul kerana dikatakan enggan makan. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker