Malaysia Tigers langkah kanan di Belgium

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki senior kebangsaan memulakan kempen siri perlawanan Jelajah Belgium 2022 dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan 1-0 dalam aksi sulung menentang Belgium ‘A’.

Pada aksi persahabatan yang berlangsung di Sportcentrum Wilrijkse Plein, Antwerp itu, kemenangan skuad Malaysia Tigers berjaya dijelmakan Muhammad Razie Abd Rahim menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

Kemenangan itu pastinya menggembirakan ketua jurulatih pasukan ranking ke-10 dunia itu, A Arulselvaraj yang masih mempunyai baki tiga perlawanan sehingga 5 Oktober ini.

“Saya rasa kekuatan kami selepas 10 minggu menjalani latihan kesesuaian fizikal dapat ditunjukkan pada hari ini (semalam).



“Walaupun kami bermain dengan 20 pemain yang silih berganti, dapat dilihat daripada sudut tahap kecergasan dan kemahuan mereka yang pemain dalam keadaan selesa.

“Walaupun lawan kami mempunyai lebih peluang pukulan sudut penalti dan lebih banyak percubaan dalam kawasan gol kami, kelebihan itu hanya pada suku keempat dalam tempoh lapan minit sebelum perlawanan berakhir, berbanding kami yang lebih menguasai permainan di awal perlawanan,” kata Arul.

Seramai 22 pemain mengikuti siri jelajah persahabatan ini yang membabitkan tiga penjaga gol, tujuh pertahanan, lima pemain tengah dan tujuh penyerang.

Malaysia selepas ini dijadualkan bertemu pasukan Belgium yang berada di ranking kedua dunia di venue sama sebelum menentang Perancis (ranking ke-11 dunia) di Warrior Field Sports Stadium, Waterloo pada 4 dan 5 Oktober ini.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker