Pemborong telur kenakan caj pengendalian dikenakan tindakan

Klang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan notis dan memberi tempoh sehingga 21 Oktober ini kepada seorang pemborong telur di Meru yang mengenakan caj pengendalian kepada pembeli.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata, tindakan ke atas pemborong itu diambil selepas pemeriksaan dibuat susulan tular di media sosial berhubung caj pengendalian jualan telur ayam Gred AA sebanyak 60 sen yang dikenakan oleh pemborong terbabit.

“Premis yang diperiksa diberikan suatu Notis Bertulis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 kerana mengenakan caj pengendalian 60 sen bagi setiap bekas telur ayam gred A dan B yang dibeli oleh pembeli.

“Tempoh maklum balas adalah sebelum atau pada 21 Oktober ini. Premis diperiksa perlu mematuhi notis berkenaan dan jika gagal, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011.

“Kami memberikan peringatan agar peniaga tidak mengenakan caj tambahan yang tidak munasabah ke atas telur ayam dan ayam yang masih di bawah barangan harga maksimum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam operasi jam 10.30 pagi tadi, pemeriksaan mendapati premis itu mendapat bekalan telur daripada pengeluar atau pembekal telur ayam dari Melaka.

“Premis diperiksa turut dikenakan caj pengendalian pembelian telur ayam oleh pengeluar atau pembekal bagi setiap bekas telur ayam yang dibeli.

“Setiap bekas dikenakan caj pengendalian oleh pengeluar atau pembekal sebanyak 60 sen.

“KPDNHEP Selangor sudah membuat tindakan dan siasatan susulan dengan kerjasama KPDNHEP Melaka untuk memberikan notis kepada pembekal terbabit,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan adalah peringkat pemborong yang menjual telur ayam pelbagai gred (Gred AA, A, B, C dan D) kepada peruncit.

“Urus niaga hanya membabitkan dengan peniaga sahaja. Tiada urus niaga dilakukan dengan pengguna,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran yang dibuat di Facebook Meru Klang Residents Official yang mendakwa premis terbabit mengenakan caj pengendalian kepada pengguna sebanyak 60 sen malah sebelum ini, kotak telur juga dikenakan caj.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker