Hidup legasi sate 90 sen

Slim River: Juadah sate dalam kehidupan pasangan kembar dan keluarganya tidak dapat dipisahkan terutama setiap kali Ramadan sejak 46 tahun dahulu.

Pasangan kembar, Shazuin Jamalos dan Mazuin yang masing-masing berusia 18 tahun baru selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Zulkifli Mohamad.

Tanpa segan silu mereka berdua melayani kerenah dan permintaan pelanggan ketika menjual sate sambil diperhatikan ibu bapa mereka, Jamalos Teratib,66, dan Malasiah Alwi, 60, di tapak bazar Ramadan dekat Pusat Perniagaan Slim Perdana.

Di mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi, Shazuin mengakui, perniagaan sate sudah sebati atau sinonim dengan kehidupan dia dan ahli keluarga sejak zaman kanak-kanak lagi.



Katanya, sejak dahulu, ayahnya memang menjual sate iaitu bermula menumpang di sebuah restoran Cina bagi menyara kehidupan mereka lima beradik.

“Dahulu, saya hanya fokus kepada pelajaran dan masa senggang banyak dihabiskan untuk mengulang kaji pelajaran.

“Kini, sebelum meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi, elok saya luangkan masa membantu kedua ibu bapa,” katanya.

Disebabkan faktor umur, ibu bapanya kini hanya menumpukan perniagaan sate setahun sekali di bazar Ramadan di samping menerima tempahan secara berkala di rumah sahaja.



Sate ayam dan daging dimasak menggunakan arang kayu resipi turun temurun dijual secucuk 90 sen yang dinikmati bersama kuah kacang.

Hasil jualan sate, Shazuin berkata, pendapatan hasil jualan sate yang membesarkan mereka lima beradik sehingga tiga abangnya melanjutkan pelajaran di universiti dan kini bergelar doktor serta jurutera.

“Setiap kali Ramadan, saya membantu dan sambil belajar cara menghasilkan sate bermula dari membersih sehingga memotong daging ayam di rumah.

“Mahu tidak mahu sebagai anak perempuan perlu n menguasai resipi warisan menghasilkan sate termasuk kuah sate,” katanya.

Tiga abangnya iaitu, Dr Mohammad Nawawi

, 34, bertugas di Hospital Serdang, Selangor, manakala dua lagi abangnya, Mohammad Safuan,26, jurutera petroleum di Damansara, Selangor dan Jamatul Fitri juga seorang jurutera petroleum di Kerteh, Terengganu.

Malah, ketiga-abangnya walaupun sudah bekerjaya namun pada cuti umum terutama hujung minggu tetap masih turun padang di bazar membantu kedua ibu bapa mereka menjual sate.

Sementara itu, Mazuin pula berkata, hasil jualan sate di samping bantuan abang juga membolehkan dia dapat belajar dalam keadaan sempurna dan serba lengkap.

Katanya, sejak zaman kanak-kanak lagi dia melihat bagaimana kedua orang tuanya setiap hari begitu gigih berkerja untuk meraih rezeki buat mereka sekeluarga.

“Peluang dan ruang membantu ayah berniaga di bazar Ramadan walaupun setahun hanya sebulan sahaja, namun banyak memberi pengajaran dan ikthibar dalam kehidupan.

“Kegigihan dan semangat ditunjukkan kedua ibu bapa memberi motivasi kepada saya untuk terus belajar ke peringkat yang lebih tinggi demi merealisasikan impian mereka dan cita-cita saya,” katanya.

Sebelum menghadapi peperiksaan SPM, pasangan kembar berkenaan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM di sekolah terbabit.

Mazuin memperolehi keputusan 9A manakala Shazuin pula mendapat 7A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Lebih menarik, walaupun keputusan peperiksaan SPM sebenar belum diumumkan namun kembar berkenaan yang bercita-cita bergelar doktor sudah menerima tawaran melanjutkan pelajaran termasuk pengajian di luar negara.

Manakala, Jamalos pula berkata, dia memulakan perniagaan sate sejak 1977 di tepi restoran Cina yang disewa RM60 sebulan.

Katanya, setiap hari dia menggunakan motosikal berulang alik dari rumah membawa barangan jualan dari Kampung Slim Village ke pekan Slim River.

“Ketika itu, harga secucuk sate 30 sen sahaja dan melalui hasil jualan sate terbabit digunakan untuk membesarkan anak-anak.” Resipi sate warisan turun temurun dan dalam keluarga saya ada lagi empat adik beradik menjual sate,” katanya.

Berkenaan impian sebagai bapa, Jamalos berkata, semua ibu bapa pasti mengimpikan kejayaan anak mereka berjaya dalam kehidupan.

Katanya, selepas melihat anak berjaya dalam kerjaya dan kehidupan menyebabkan rasa jerih perih membesarkan dan mendidik mereka hilang sekelip mata.

“Bukan setakat anak ,ibu bapa juga dahagakan kejayaan anak mereka.

“Saya bersyukur sebab semua anak saya belajar daripada perjalanan kehidupan mereka sehingga mencetus semangat untuk mengubah kehidupan pada masa depan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker