Keputusan petisyen dua wanita cabar Enakmen Syariah Kelantan esok

Oleh – Syeikh Baran


Keputusan petisyen dua wanita cabar Enakmen Syariah Kelantan esok
Keputusan sama ada Mahkamah Persekutuan di sini, membenarkan atau menolak petisyen seorang peguam dan anaknya mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, akan diketahui pada Jumaat.

Keputusan sama ada Mahkamah Persekutuan di sini, membenarkan atau menolak petisyen seorang peguam dan anaknya mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, akan diketahui pada Jumaat.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan memutuskan petisyen yang difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman bersama lapan lagi hakim lain.

Selain Tengku Maimun, hakim lain yang mendengar kes itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Ia termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin Nastasha memfailkan petisyen itu dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Antara peruntukan yang dicabar ialah Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Dalam permohonan itu, dua pempetisyen ini diwakili peguam A Surendra Ananth, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman.

Pada 17 Ogos 2023, mahkamah mendengar penghujahan peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili kedua-dua pempetisyen dan Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif mewakili Kerajaan Negeri Kelantan manakala Yusfarizal Yussoff selaku peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

emasa hujahan, Malik Imtiaz berkata, Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut kerana 18 peruntukan itu bertindih dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga tidak sah kerana peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.

Sementara itu, Kamaruzaman berhujah, peruntukan yang dicabar itu merupakan kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.

Beliau turut memohon mahkamah mengkaji semula penghakiman kes Iki Putra Mubarrak berhubung isu serupa kerana terdapat beberapa bahagian dalam penghakiman Iki Putra yang disifatkan tidak boleh dikekalkan.

Kamaruzaman turut memohon mahkamah meneliti penghakiman itu yang menyatakan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai Persekutuan, secara automatik adalah terbatal.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Pada 20 November 2023, panel sembilan hakim itu turut mendengar penghujahan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa Badan Perundangan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal 18 peruntukan undang-undang itu.

Beliau yang mewakili Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) selaku peguam pemerhati berkata, tiada satu pun peruntukan undang-undang yang dicabar oleh Nik Elin Zurina dan anaknya, tertakluk di bawah 27 senarai undang-undang Persekutuan.

Katanya, kuasa Parlimen adalah menggubal undang-undang dalam senarai Persekutuan yang mengandungi 27 item, namun ia tidak boleh menggubal undang-undang di luar daripada 27 item yang disenaraikan.

Menurutnya, pempetisyen juga gagal membuktikan bahawa penggubalan 18 peruntukan itu tidak selari dengan undang-undang syariah dan kekeluargaan Islam yang mewajarkan ia dibatalkan oleh mahkamah.

Dalam permohonan ini, pemerhati-pemerhati lain yang terlibat ialah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Badan Peguam Malaysia turut bertindak selaku pemerhati.

Mahkamah turut mendengar penghujahan pihak-pihak yang bertindak selaku sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam petisyen tersebut iaitu Sisters In Islam Forum (SIS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

SIS dan Badan Peguam telah menyokong petisyen Nik Elin manakala yang lain membantah.

Pada 20 November tahun lepas, mahkamah menetapkan tarikh lain untuk keputusan prosiding, selepas selesai mendengar hujahan pihak-pihak yang terlibat.

Sementara itu, pada Oktober tahun lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perikatan Nasional (PN) mengambil serius cabaran terhadap mahkamah syariah yang bermula dari kes Iki Putra sebelum ini.

Ini kerana katanya, implikasi kes berkenaan sangat besar kepada seluruh undang-undang Mahkamah Syariah di negara ini.

Beliau berkata, jika ia berlaku (permohonan Nik Elin Zurina diluluskan mahkamah), perkara itu akan menyebabkan sebahagian besar bidang kuasa Mahkamah Syariah terhapus.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker