Mangsa pertama bot terbalik Sungai Jelai ditemukan lemas
05/01/2021 03:45 PM
KUANTAN, 5 Jan — Mayat seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya terbalik di Sungai Jelai, Kampung Bertang di Lipis, kira-kira 245 kilometer dari sini, semalam, ditemukan di tebing sungai berkenaan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata mayat Rozi Omar, 52, ditemukan tersangkut di celah pokok pisang, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian, pada 9.45 pagi.
“Usaha mencari dan menyelamat seorang anak perempuan mangsa yang juga dilaporkan hilang diteruskan.
“Jenazah Rozi dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Rozi dilaporkan hilang bersama anaknya Nur Zakirah Ahmad Hussin, 19, selepas bot dikemudi suaminya, Ahmad Hussin Mad Aris, 52, terbalik akibat arus deras semasa mereka menuju ke Kampung Betong, bagi meninjau keadaan rumah mereka yang dilanda banjir.
Turut berada di atas bot itu ialah seorang lagi anak mangsa, Nur Aina, 23, namun dia dan bapanya berjaya menyelamatkan diri.