Peruntukan RM700,000 untuk e-sukan dapat galak penyertaan golongan muda

04/01/2021 10:10 AM

IPOH, 4 Jan — Peruntukan sebanyak RM700,000 yang disediakan kerajaan negeri dalam belanjawan 2021 untuk e-sukan merupakan satu langkah proaktif bertujuan menggalakkan pembangunan sukan tersebut dalam kalangan generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed berkata peruntukan itu antara lain mampu meningkatkan usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu yang berpotensi diketengahkan mewakili negeri dan negara dalam sesuatu kejohanan.

“Perlu diingat sukan ini telah diiktiraf di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) dan juga Sukan SEA. Jadi dengan peruntukan yang ada, kita boleh anjurkan pelbagai kejohanan untuk mencari atlet yang berbakat untuk diketengahkan bagi mewakili negeri dan negara.



“Melalui pembangunan ini juga, kami ingin ingin mendidik anak muda supaya melihat sukan ini dalam konteks yang lebih luas iaitu ia bukan sekadar hobi atau hiburan semata-mata tetapi boleh dijadikan sebagai kerjaya tetap yang menjamin masa depan mereka,” katanya dalam sidang media selepas hadir majlis makan malam Persatuan Sukan Elektronik Perak di sini, malam tadi.

Selain itu, beliau berkata melalui peruntukan itu juga pihaknya akan melakukan jelajah di seluruh negeri bagi memperkenalkan sukan berkenaan kepada masyarakat secara menyeluruh.

Menurut Khairul Shahril masih terdapat segelintir pihak yang merasakan bahawa e-sukan tidak memberi sebarang manfaat dan nilai tambah kepada seseorang individu itu.

“Kami sebenarnya nak memberikan satu persepsi yang positif kepada sukan ini kerana banyak juga yang masih lagi dalam stigma bahawa sukan ini buang masa dan konteks negatif yang lain. Jadi kami nak perbetulkan persepsi ini.



“E-sukan ini merupakan sukan yang cukup positif. Ada juga kajian yang mengatakan ia boleh mengurangkan tekanan dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Perak menyasarkan untuk memenangi satu daripada lima pingat emas yang akan dipertandingkan dalam e-sukan semasa temasya Sukma Johor yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 19 Julai tahun hadapan.

“Kami tak letak sasaran (acara) cuma saya harap antara lima acara yang dipertandingkan seperti Defense of the Ancients (DOTA 2), FIFA21, PES 21, Player Uknowns Battleground (PUBG) dan Mobile Legends, satu daripadanya kita akan menang (emas),” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker