ASEAN perlu pastikan ketersambungan internet capai standard antarabangsa

05/01/2021 02:55 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 5 Jan — ASEAN perlu berusaha menyediakan sambungan internet sejagat yang mencapai standard antarabangsa supaya ekonomi digital dapat berkembang pesat.

Pengasas Digital Marketing Rider, Shalini Subramaniam, berkata sehubungan itu penting untuk memastikan sistem pendidikan dapat memenuhi tuntutan digital dan jaringan keselamatan data bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital.



Dalam wawancara eksklusif dengan Bernama baru-baru ini, beliau berkata Asia Tenggara berpotensi untuk muncul satu daripada ekonomi digital utama dunia kerana pasaran internet di rantau ini paling pantas berkembang.

Menurut laporan Jabatan Komunikasi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Internet telah menjangkau kebanyakan penduduk di Brunei, Malaysia dan Singapura, tetapi lebih 70 peratus rakyat Kemboja, Indonesia, Laos dan Myanmar masih agak ketinggalan dan tidak dapat menyertai sepenuhnya dalam ekonomi digital.

Ujar Shalini ketersambungan internet dan menambah akses ke rangkaian jalur lebar penting untuk meningkatkan peluang bagi individu, syarikat dan usahawan digital, terutamanya dari ASEAN.

Beliau berpendapat halangan utama seperti kurangnya kesedaran digital dan kepercayaan terhadap teknologi itu perlu ditangani terlebih dahulu supaya perusahaan kecil dan sederhana (SME) dapat mencapai potensi penuh dalam akses dan penggunaan teknologi digital.



“Penting bagi ASEAN untuk mengenal pasti perkhidmatan jalur lebar yang boleh dipercayai selain memperkuat pemboleh utama pertumbuhan Internet. Membentuk pasukan petugas akan membantu mengenal pasti perkara penting ini untuk membentuk dan menyokong pelaksanaannya,” katanya.

Ditanya adakah undang-undang khusus diperlukan untuk membantu dan mengatur ekonomi digital di Malaysia, Shalini berkata ketika kerajaan terus mendukung di samping menumpukan usaha membangun ekonomi digital, dasar lebih spesifik untuk memantau serta mengawasi transaksi dalam talian untuk menjamin privasi pelanggan, kepercayaan dan keselamatan perlu diperkenalkan.

Menurut Malaysia Digital Marketing Statistics 2020, rata-rata rakyat Malaysia menghabiskan masa menggunakan internet kira-kira lapan jam, lima minit sehari.

“Ia menunjukkan lebih banyak perniagaan akan menggunakan digitalisasi, yang bermaksud ekonomi digital Malaysia akan terus berada pada momentum pertumbuhan,” katanya.

Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) secara telesidang dari 21 hingga 22 Januari.

Bertemakan ‘ASEAN: A Digitally Connected Community’, mesyuarat itu bertujuan memantapkan jalinan kerjasama negara ASEAN, ke arah pembangunan ekosistem digital sebagai tunjang dalam rancangan pembangunan pasca COVID-19.

ASEAN terdiri Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Laos, Myanmar, Kemboja dan Vietnam.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker