Catatan Mengharukan Bantu Mangsa Banjir Di Pahang

Masih Ada Insan Berhati Mulia

derma banjir

Pahang berdepan dengan musibah banjir membuka tirai 2021 sebagai sejarah hingga ada yang menyifatkan banjir kali ini menyamai banjir pada 1971.

Dalam menghadapi banjir sudah pasti banyak keperluan bantuan perlu diberikan kepada mangsa yang kehilangan harta benda serta mengalami kerugian kerosakan akibat ditenggelami air.

Bantuan yang dihulurkan kepada semua menggamit perasaan kasih sesama manusia. Menurut Ketua Pemuda Pahang, saudara Farid Nor beliau tergamam apabila menerima sumbangan satu pasangan suami isteri ketika sedang membeli barang keperluan bantuan untuk mangsa banjir.

Berikut adalah catatan Farid Nor di Facebook miliknya.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10221114478706266&id=1073046943

Selesai membeli barang keperluan yang dipesan mangsa banjir tadi saya dihampiri oleh sepasang suami isteri.

“Nak bawa ke mana?” tanya si suami, “ini misi bantuan banjir ke? Berapa ramai mangsa? Makanan disediakan macam mana? Macam mana awak dapat peruntukkan?”

Saya menjawap satu persatu soalannya, raut wajahnya memperlihatkan yang beliau lebih banyak berfikir dari mendengar jawapan saya.

Tiba-tiba beliau menghulurkan nota RM 50.00 ini, “ambil lah, saya tak mampu beri banyak, nak tolong cara lain pun tak berupaya. Belilah apa yang patut, ini saja yang mampu”

Si suami terus berlalu pergi, isterinya mengulang, “kami hanya mampu ini saja” lalu menuruti langkah sang suami.

Saya ucapkan terima kasih.

Sebenarnya saya sebak….sekeping nota RM 50.00 ini sangat tinggi nilainya. Sekurang-kurangnya seorang bayi ada jaminan susunya tidak putus bekalan malam ini.

Lebih dari itu…

Kami tidak pernah kenal, namun suami isteri ini memberi penuh kepercayaan kepada saya dan pasukan untuk menguruskannya.

Dan saya tahu, mereka bukan orang berada..

Sifat kasih sayang sesama manusia itu sesungguhnya sangat luas. Cuma kadangkala kita bersengketa tentang perkara yang remeh temeh.

Saya berdoa semoga sekeping nota RM 50.00 ini akan menjadi saksi keikhlasan pemberinya di akhirat kelak.

Walau hanya RM50 pasangan itu benar-benar menyentuh hati Farid. Bukan nilai sumbangan yang dijaja tetapi nilai kemanusiaan yang masih subur di hati rakyat Malaysia.

Bantuan kepada mangsa banjir turut digerakkan oleh Ketua Pemuda Umno Raub, saudara Fadzli Kamal bersama beberapa NGO lain bagi membantu mangsa banjir di sekitar daerah Raub.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=_G7TaPYVp3A[/embedyt]

 

Leave a Reply