Macau Scam guna tandatangan Ketua Polis Pahang perdaya mangsa


Datuk Seri Abd Jalil Hassan

06/01/2021 04:32 PM

KUANTAN, 6 Jan — Polis Pahang mengesan taktik baharu sindiket Macau Scam, yang menggunakan surat palsu kononnya ditandatangani Ketua Polis Pahang bagi memperdayakan mangsa, untuk memindahkan wang ke akaun mereka.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, surat yang menggunakan kepala surat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mendakwa, penerimanya perlu memindahkan wang atau ditangkap atas alasan terlibat dalam penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram.



“Surat itu juga mendakwa jika penerima enggan bekerjasama, maka waran tangkap akan dilaksanakan serta-merta dan semua aset serta akaun bank miliknya akan dibekukan selama dua tahun lima bulan, selain direman 45 hari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Abd Jalil berkata beliau sendiri telah melihat dokumen palsu itu yang diterima menerusi WhatsApp telefon pintarnya pada 3 petang, Isnin lalu dan polis telah berjaya mengesan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, yang dipercayai menerima surat itu bagi membantu siasatan.

Pada perkembangan lain, Abd Jalil berkata polis mengesan aktiviti penjualan tiga bidang tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang di laman sosial Facebook dan Mudah.my tanpa kebenaran pihak terlibat.

Katanya, kegiatan itu disedari Penolong Setiausaha Kanan Perbadanan SUK Pahang, yang menerima mesej WhatsApp pada 10.30 pagi, 28 Dis lalu daripada seorang individu yang ingin mendapatkan pengesahan mengenai penjualan tanah di Jerantut, kira-kira 150 kilometer dari sini.



“Tanah itu yang terletak di Ulu Tembeling dan Pedah kononnya untuk dijual pada harga RM11,000 seekar. Semakan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membolehkan kita mengenal pasti seorang broker tanah berusia 30-an, untuk membantu siasatan.

“Kita sedang menyiasat jika lelaki berkenaan terlibat atau ada pihak lain yang menggunakan namanya bagi memperdayakan orang awam untuk membeli tanah tersebut. Kita minta mereka yang ada membeli atau ditawarkan tanah di situ menerusi media sosial, menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button