Mangsa banjir di pantai timur meningkat

 

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan, manakala keadaan banjir di Perak, Selangor dan Johor bertambah baik dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di PAHANG, situasi banjir bertambah buruk apabila mangsa banjir yang dipindahkan di 241 PPS mencatatkan 18,976 orang daripada 5,032 keluarga setakat jam 7.30 pagi ini.

Keadaan rumah yang dinaiki air banjir di Kampung Bukit Rangin, Kuantan. FOTO NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

 

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Maran masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,501 orang diikuti Temerloh (3,020), Lipis (2,551), Raub (2,402), Jerantut (2,329), Kuantan (2,321), Rompin (1,012), Pekan (430) dan Bera (410).

Bagaimanapun, keadaan banjir di daerah Bentong pulih, apabila pusat pemindahan di kawasan itu ditutup petang semalam.

Portal itu turut memaklumkan Sungai Pahang di daerah Bera, Kuantan, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Maran melepasi tahap bahaya setakat 7 pagi.

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataan memaklumkan laluan di KM113 dan KM115 ditutup kedua-dua hala susulan kenaikan air.

Laluan di KM84.6 – KM84.7 (antara Persimpangan Lanchang ke Persimpangan Karak), LPT1 hala Kuantan juga masih ditutup kepada lalu lintas.

Di TERENGGANU, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 267 orang setakat 8 pagi ini.

Semalam, seramai 117 mangsa banjir direkodkan berikutan pembukaan semula dua PPS di Dungun yang menempatkan 156 mangsa.

Di KELANTAN, Tanah Merah menjadi jajahan kedua dilanda banjir di Kelantan dengan lapan pusat pemindahan diaktifkan bagi menempatkan 125 mangsa daripada 33 keluarga setakat 8 pagi.

Menurut Info Bencana JKM, sebelum ini Gua Musang turut terjejas dengan banjir, namun telah pulih dengan kesemua pusat pemindahan di jajahan itu ditutup semalam.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 3,566 orang pagi ini, berbanding 4,116 orang yang ditempatkan di PPS) di enam daerah, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sehingga jam 8 pagi, sebuah lagi PPS di Mersing iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Datuk, ditutup selepas banjir surut.

Katanya, sebanyak 32 PPS masih beroperasi ketika ini yang menempatkan 903 keluarga di enam daerah.

“Mangsa banjir di Kota Tinggi ketika ini seramai 2,122 orang daripada 533 keluarga, manakala Kluang kini menempatkan 919 orang daripada 223 keluarga.

Mangsa banjir ditempatkan di PPS di Dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi. FOTO NSTP/ZIN AHMED

 

“Berikutan PPS SK Sawah Datuk, di Mersing, ditutup jam 12 tengah malam tadi, jumlah mangsa di daerah berkenaan kini seramai 292 orang daripada 77 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.

“Bagaimanapun, jumlah mangsa di Johor Bahru kekal 72 orang daripada 24 keluarga di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang, dekat sini,” katanya.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun kepada 520 orang hari ini berbanding 543 orang semalam.

Mangsa terbabit adalah daripada 152 keluarga yang kini ditempatkan di tujuh PPS di tiga daerah.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, daerah Hilir Perak kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan seramai 484 mangsa daripada 138 keluarga.

Katanya, mereka ditempatkan di empat PPS di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, Dewan Serbaguna Chikus, Dewan MPTI Teluk Intan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langkap.

“Bagi daerah Kampar, seramai 32 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Dato’ Azman Mahalan, Kuala Dipang dan Dewan Bandaran Gopeng.

“Daerah Muallim pula hanya empat mangsa daripada dua keluarga yang ditempatkan di SK Kuala Slim,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker