Perancis didakwa serang majlis perkahwinan, 10 maut

BAMAKO: Perancis semalam mendakwa berjaya membunuh puluhan pengganas dalam serangan udara di tengah bandar Mali.

Bagaimanapun, penduduk kampung dan warga tempatan mendakwa sasaran tentera Perancis itu sebenarnya ialah tetamu majlis perkahwinan, di mana sekurang-kurangnya 10 terkorban akibat tembakan dari helikopter.

Khabar angin bertebaran di media sosial berkaitan kejadian di Bounti dipercayai berlaku Ahad lalu, menunjukkan majlis perkahwinan diserang helikopter yang dikenal pasti milik tentera Perancis.

Bagaimanapun, jurucakap markas tentera Perancis memberitahu AFP bahawa jet pejuang ‘meneutralkan’ puluhan pelampau di tengah pusat bandar Mali selepas kumpulan itu dikesan sejak beberapa hari lalu.

“Laporan mengenai majlis perkahwinan itu bercanggah dengan laporan risikan dan pengamatan kami,” katanya kepada AFP.

Ketiadaan kenyataan rasmi dari pegawai Perancis mahupun Mali menyebabkan khabar angin mengenai tragedi itu berleluasa.

Pengesahan laporan sukar dilakukan di kawasan terpencil itu, di mana terdapat banyak kumpulan serpihan pengganas dipercayai beroperasi.

Operasi udara di Mali terutama dilakukan tentera Mali atau oleh pasukan anti pelampau Perancis Barkhane.

Penduduk kampung di Bounti mendakwa sebuah helikopter melepaskan tembakan pada siang hari, mewujudkan rasa panik dalam kalangan orang ramai yang berkumpul untuk upacara perkahwinan.

Salah seorang tetamu, Ahmadou Ghana, mendakwa 19 tetamu menjadi korban termasuk dua adik beradiknya manakala beberapa yang lain cedera parah.

Ahad lalu, Tabital Pulakuu, persatuan yang mempromosikan budaya etnik Fulani di Mali, melaporkan berlaku serangan udara yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 20 orang awam ketika majlis perkahwinan.

Sementara itu, sumber tentera Perancis yang mengetahui operasi itu, memberitahu AFP bahawa tiada keraguan atau kekaburan mengenai sasaran serangan, malah tiada majlis perkahwinan diadakan.

“Serangan dilakukan selepas melalui proses pelbagai pihak yang sangat ketat bagi mengenal pasti kumpulan pengganas bersenjata yang disahkan selepas mengumpulkan maklumat terperinci,” katanya.

Namun masih tidak jelas sama ada tentera Perancis dan penduduk kampung Bounti merujuk kepada kejadian sama.

Jurucakap pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikenali sebagai MINUSMA dengan kekuatan 13,000 anggota di Mali, berkata pasukan itu tidak terbabit dalam kejadian di Bounti. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker