Di mana ibu Ina Mysarah?

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon bantuan orang ramai untuk mengesan ibu remaja perempuan berusia 13 tahun yang ditinggalkan ketika bayi di rumah pengasuh di Kampung Sungai Merab Luar, Dengkil pada 2009.

Pegawai Pelindung JKM Sepang, Nur Aleena Qaisah Muhammad Farid, berkata pihaknya berharap ibu kandung atau waris remaja perempuan itu tampil bagi membantu menyediakan dokumentasi dan pengenalan diri untuk remaja terbabit.

Menurutnya, remaja itu ditinggalkan ketika berusia sebulan oleh ibunya yang hanya dikenali sebagai Linda kepada seorang pengasuh bernama Kamariah Bicho.

Katanya, Linda meminta pengasuh menjaga bayinya itu setengah hari dengan memberi upah RM50 tetapi tidak datang semula untuk mengambil bayinya.

“Bayi itu dinamakan Ina Mysarah oleh pengasuh terbabit dan sebelum ini pernah belajar di pusat tahfiz Mahad Tahfiz Akademik Sungai Merab dari Tahun Satu hingga Empat tanpa dokumen sijil lahir,” katanya.

Nur Aleena berkata, sebelum ini pengasuh itu pernah mencari ibu kandung bayi berkenaan namun gagal ditemui dan penduduk juga tidak mengenali wanita itu.

Menurutnya, ibu kandung remaja ini diminta tampil ke pejabat JKM bagi urusan dokumentasi sijil lahir dan sekiranya gagal akan di bawah ke mahkamah bagi mendapatkan perintah penjagaan tetap kepada pengasuh bagi menguruskan dokumen.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi JKM Sepang di talian 03-87061026.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker