Banjir di Terengganu makin buruk

Keadaan banjir di kawasan Bandar Baru Bukit Mentok. – Foto NSTP/Zatuliffah Zolkiply

CHUKAI: Banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 5,243 orang daripada 1,326 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Sehingga jam 8 pagi tadi, kesemua mangsa dipindahkan ke 39 PPS yang dibuka di lima daerah iaitu Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

Malam tadi, jumlah mangsa banjir adalah seramai 3,694 orang daripada 968 keluarga ditempatkan di 34 PPS.

Secara keseluruhan, semua mangsa banjr di empat daerah terjejas kecuali Setiu menunjukkan pertambahan mangsa berbanding malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman terus merekodkan jumlah mangsa tertingggi apabila seramai 4,074 mangsa daripada 988 keluarga ditempatkan di 21 PPS.

“Malam tadi, seramai 2,658 mangsa daripada 660 keluarga dipindahkan di 19 PPS di daerah berkenan.

“Di Dungun, jumlah mangsa banjir juga bertambah kepada 849 mangsa daripada 244 keluarga di sembilan PPS manakala di Hulu Terengganu, enam PPS diaktifkan bagi menempatkan 219 mangsa daripada 67 keluarga.

“Sebanyak dua PPS diaktifkan di Besut bagi menempatkan 94 mangsa daripada 23 keluarga berbanding 45 mangsa terdiri daripada 11 keluarga di dua PPS sama.

” Jumlah mangsa banjir di Setiu kekal seramai tujuh mangsa daripada empat keluarga dipindahkan di satu PPS,” katanya.

Sementara itu, 10 sungai di Terengganu direkodkan melepasi paras bahaya iaitu tiga di Kemaman serta masing-masing dua di Dungun, Besut dan Hulu Terengganu serta satu di Setiu.

Ketika ini, beberapa batang sungai menunjukkan trend menaik.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker