Mangsa banjir di Pahang terus meningkat

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat kepada 24,298 orang daripada 6,535 keluarga di sembilan daerah di negeri ini, setakat jam 8.30 pagi ini.

Jumlah itu bertambah, berbanding petang semalam membabitkan 21,922 orang daripada 5,858 keluarga dan ditempatkan di 259 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebanyak 54 PPS dibuka di Temerloh, diikuti Maran (41), Lipis (40), Raub (37), Jerantut (36), Kuantan (33), Pekan (23), Bera (11) dan Rompin (tujuh).



Kuantan merekodkan 3,534 mangsa daripada 954 keluarga, diikuti Temerloh 5,818 membabitkan 1,618 keluarga; Maran 5,275 daripada 1,453 keluarga.

Rompin pula merekodkan 986 daripada 257 keluarga, Bera 726 daripada 197 keluarga, Raub 2,182 daripada 573 keluarga, Jerantut 2,367 daripada 568 keluarga; Lipis 2,551 daripada 675 keluarga dan Pekan 859 daripada 240 keluarga.

Laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan tujuh sungai melepasi paras berbahaya setakat 8 pagi.

Sungai terbabit ialah di Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh.



Selain itu, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Kuantan di Jalan Kuantan Pintasan, Kuantan serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Inai), Pekan.

Sungai Jelai di Bukit Betong, Lipis: Sungai Triang, Bera dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan pula melepasi paras amaran manakala Sungai Belat di Sri Damai dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan melepasi paras berjaga-jaga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan notis cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di Pahang iaitu di Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, hari ini.

Hujan lebat peringkat waspada turut dijangka berlaku Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Maran sehingga Sabtu ini.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button