Piya hanya jalani pemeriksaan kesihatan biasa

06/01/2021 08:56 PM

KOTA BHARU, 6 Jan — Pemain berpengalaman Kelantan United (KUFC) Mohd Badhri Radzi atau dikenali Piya, hanya menjalani pemeriksaan kesihatan biasa sebelum kembali menyertai pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Setiausaha Eksekutif KUFC Wan Mohd. Zul Ikman Wan Ab Aziz berkata pemain itu hanya melakukan pemeriksaan kesihatan lanjut, sebelum kembali beraksi bersama ‘The Green Deers’ untuk saingan Liga- M musim ini.



“Pemeriksaan tersebut bertujuan memastikan pemain berusia 39 tahun itu, tidak berdepan dengan masalah kesihatan sekali gus dapat beraksi dengan baik pada saingan liga nanti. Ia hanya prosedur biasa buat seorang pemain bola sepak profesional,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini tersebar gambar Piya yang kembali menyertai KUFC selepas setahun berehat dari kancah Liga-M, tular di laman-laman sosial yang meminta seluruh peminat mendoakan kesihatan pemain tengah terbabit.

Wan Mohd. Zul Ikman berkata untuk makluman, Piya sudah menjalani ujian pemeriksaan kesihatan sebelum ini dan telah lulus, namun pemeriksaan kali ini bagi memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, spekulasi mengatakan Piya sakit dan pasukan perubatan KUFC gagal membuat pemeriksaan ke atas pemain itu adalah tidak benar dan pihaknya berterima kasih kepada peminat yang cakna dengan kesihatan pemain kesayangan mereka.



“Piya dijangka kembali berlatih bersama pasukan dalam masa terdekat, insya-Allah sebarang perkembangan terkini Piya dan pasukan yang sahih, boleh didapati di laman sosial rasmi pasukan Kelantan United Fotball Club,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button