4 sekeluarga mengaku salah dera wanita lembam

 

SINGAPURA: Empat sekeluarga mengaku salah di mahkamah di sini kerana mendera dan melakukan beberapa jenayah termasuk menyerang seorang wanita berusia 30 tahun itu dan berbohong kepada polis kerana mahu melindungi keluarga mereka.

Wanita itu yang mempunyai masalah lembam yang pada awalnya tinggal bersama sebuah keluarga berkenaan selepas lari daripada rumahnya, sebaliknya menjadi hamba keluarga itu selain didera.

Mangsa disuruh membuat kerja tanpa dibayar, dikurung dalam flat selama setahun setengah dan diikat setiap malam pada katil, lapor agensi berita CNA.

Muhammad Iskandar Ismail, 32 tahun, dihukum penjara dua bulan dan empat minggu kerana berbohong kepada pihak polis dan sengaja menyebabkan kecederaan.

Adiknya, Muhammad Iski, 29, pula dihukum penjara selama lapan bulan kerana berbohong kepada pihak polis dan meminta abangnya supaya berbohong juga.

Dua kakaknya, Hasniza Ismail, 39 tahun dan Haslinda Ismail, 34 tahun, akan dihukum pada tarikah yang akan ditentukan kemudian.

Dua wanita tersebut dan ibu mereka, Hasmah Sulong, mengaku salah mendera mangsa dengan mengetap jari kakinya dengan playar, menghentak giginya dengan penukul dan menyimbah air panas di kakinya.

Walaupun mangsa melecur dan kulitnya melecet serta tidak boleh mengawal untuk membuang air, tiada sesiapa anggota keluarga itu bertindak untuk mendapatkan bantuan perubatan, sebaliknya hanya krim atau ubat di bahagian luka.

Hanya apabila Hasniza menyedari bahawa mangsa terlalu lemah untuk bangun, atau makan dan cecair hitam mula keluar daripada mulut dan hidungnya, barulah dia menelefon ambulans.

Beberapa minggu sebelum itu, si mangsa diikat dalam keadaan separuh bogel pada mangkuk tandas di dapur, dalam keadaan berlumuran dengan najisnya sendiri dan makan di lantai tandas itu.

Dia dibawa ke hospital dan didapati dalam keadaan amat tenat, mengalami radang paru-paru dan sepsis di bahagian lukanya selain cedera di seluruh badannya dan kurang zat pemakanan.

Dia memerlukan bantuan pernafasan selama lapan jam di Jabatan Kecemasan dan dihantar ke sebuah hospital lain akibat melecur teruk yang dialaminya. – AGENSI

Leave a Reply