Banjir di Johor makin pulih, jumlah mangsa menurun

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor bertambah baik apabila mencatatkan penurunan kepada 1,422 orang daripada 363 keluarga setakat jam 8 pagi ini.

Ia berbanding 2,260 orang membabitkan 559 keluarga yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah terjejas, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sehingga kini, hanya 16 PPS masih diaktifkan di negeri ini dengan lima daerah terjejas.

Katanya, banjir di Batu Pahat sudah pulih dan semua mangsa sudah pulang ke kediaman masing-masing selain lima PPS sudah ditutup.



“Banjir di Kota Tinggi juga bertambah baik dengan hanya tinggal 223 orang daripada 59 keluarga ditempatkan di lima PPS, pada pagi ini, berbanding 1,048 daripada 246 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS seluruh daerah itu, semalam.

“Bagaimanapun, setakat ini, Kluang mencatatkan jumlah mangsa yang ramai dengan 688 orang daripada 163 keluarga ditempatkan di tiga PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, Mersing pula terus mencatatkan peningkatan dengan 350 orang daripada 93 keluarga ditempatkan di lima PPS, pada pagi ini, berbanding seramai 346 orang daripada 90 keluarga, semalam.

“Daerah yang mencatatkan jumlah sama iaitu Johor Bahru dengan 72 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di sebuah PPS dan Segamat membabitkan 89 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di dua PPS.



“Laluan yang masih ditutup untuk semua kenderaan meliputi Jalan Haji Suhud, di Johor Bahru dan Jalan Tanah Abang, di Mersing,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker