DIDDY SEKELUARGA SELAMAT PULANG KE TANAH AIR – KONGSI PENGALAMAN MENAKUTKAN DI UK

 

Penyanyi dan pelakon Diddy Hirdy akhirnya pulang ke Tanah Air baru-baru ini selepas beberapa tahun menyambung pelajaran di peringkat PhD di Liverpool, United Kingdom (UK). Diddy yang masih lagi dalam tempoh kuarantin bersama keluarganya di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu bersyukur selepas menempuhi saat-saat yang sukar ketika beberapa bulan sebelum pulang ke Malaysia.

“Memang kami sekeluarga bimbang ketika bulan-bulan terakhir berada di Liverpool. Keadaan macam tak tentu arah dengan kes Covid-19 yang tak berkesudahan. Segalanya terlalu ‘longgar’ di sana.

“Kes mencecah puluhan ribu setiap hari sampai satu tahap, saya dah tak tengok jumlah kes harian. Penjarakan sosial ke laut, penutup hidung dan mulut pun ada yang pakai dan ada yang tidak peduli. Itu belum lagi dengan puak-puak yang membuat bantahan berkumpul di tempat-tempat awam membantah penggunaan penutup hidung dan mulut,” kata Diddy.

Menurut Diddy yang mempunyai dua cahaya mata yang bersekolah di Liverpool, lebih menakutkannya adalah sekolah masih dibuka biarpun terdapat mereka yang positif Covid, sama ada pelajar ataupun guru-guru.

“Kedua-dua anak saya pernah kena kuarantin di rumah selama 14 hari kerana ada kawan-kawan dan juga cikgu yang mengajar didapati positif. Walaupun begitu, sekolah tetap berjalan seperti baiasa dan kalau anak-anak tidak dihantar ke sekolah, ibu bapa akan didenda.

Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

“Jadi apa yang kami boleh buat adalah ikut SOP yng dijalankan di Malaysia – jaga penjarakan sosial, pakai penutup hidung dan mulut, basuh tangan dan bersihkan badan. Balik sahaja daripada sekolah, anak-anak terus dimandikan dan pakaian mereka terus masuk mesin pembasuh,” ceritanya.

Tambah Diddy lagi, keterujaan mereka sekeluarga untuk pulang ke Malaysia bertukar menjadi satu perkara yang mendebarkan apabila berita virus yang lebih teruk menular di Londong dan lebih ramai yang terkena pandemik tersebut.

“Tiket penerbangan pulang ke Malaysia sudah ditempah lebih awal tetapi keadaan yang semakin teruk di United Kingdom (UK) menyebabkan banyak negara yang menyekat ketibaan penumpang dariapada UK.

“Memang tak senang duduk masa tu. Setiap hari akan tengok laman web penerbangan, bimbang kalau ada apa-apa perubahan dan perlu menyediakan apa yang dikehendaki atau tidak dibenarkan terbang.

Image_3.jpg

“Kuwait, Oman Arab Saudi semuanya dah sekat penerbangan daripada UK. Masa tu Tuhan yang tahu perasaan kami. Nasib baik kami ambil penerbangan Qatar Airways kerana ia antara penerbangan yang konsisten dengan polisi Covid terutamanya penerbangan ke Malaysia.

Diddy berkata, perasaannya lebih lega apabila tiba di lapangan terbang Manchester dan pihak berkuasa di sana memerlukan keputusan ujian Covid memandangkan Malaysia adalah negara sendiri saringan dan kuarantin.

“Alhamdulillah perjalangan pulang secara keseluruhan tiada masalah langsung. Penumpang diwajibkan pakai face mask dan shield sepanjang penerbangan kecuali ketika makan. Penerbangan pun tak penuh. Boleh kata kedudukan tempat duduk tu mesti ada ruang kosong satu barisan dengan penumpang yang lain.

“Tibanya di KLIA, perasaan pertama yang timbul adalah syukur sangat selamat sampai ke Malaysia. Rasa macam baru balik dari medan perang! Kami sekeluarga di sambut petugas di lapangan terbang dengan penuh mesra dan sangat membantu.

Image_4.jpg

“Terdapat beberapa prosedur yang perlu dilalui dan dikawal selia dengan sangat teratur. Saringan Covid pun ada doktor yang buatkan, jadi rasa sangat yakin berbanding di UK yang mana saya dan keluarga dah buat beberapa kali di Testing Centre sendiri, tanpa kehadiran pegawai perubatan.

“Bangga lihat usaha pihak kerajaan Malaysia menangani pandemik ini terutamanya dipintu masuk negara seperti lapangan terbang. Tersentuh hati melihat frontliners kita berpeluh-peluh pakai hazmat suit menjalankan tugas,” tutur Diddy.

Menurut Diddy yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4) itu lagi, dia berasa sangat bersyukur kerana segala perancangan untuk pulang ke Tanah Air berjalan dengan lancar dan tiba dengan selamat.

“Tak sabar nak habiskan kuarantin ni dan berjumpa dengan keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai. Juga, tak sabar nak pulang ke tempat kerja saya di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia sebagai tenaga pengajar,” jelasnya yang mengakhiri bicara.

Image_5.jpg

Image_6.jpg

Image_7.jpg

Leave a Reply