Pasaran saham lemah pada pembukaan sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi urus niaga Khamis berikutan prestasi Wall Street yang lemah semalaman.

Pada 9.25 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.20 mata kepada 1,413.90 daripada 1,415.10 penutup Rabu.

Indeks utama itu memulakan urus niaga pada paras 1,414.72, susut 0.38 mata.

Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 190 berbalas 181, manakala 243 kaunter tidak berubah, 1,748 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.



Jumlah dagangan adalah sebanyak 218.68 juta unit bernilai RM117.78 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, dagangan di bursa tempatan dijangka hambar hari ini, terjejas oleh peningkatan kadar faedah di Amerika Syarikat.

“Justeru kami mengunjurkan indeks penanda aras berada di antara 1,395 dan 1,420 dengan saham teknologi mungkin menyaksikan beberapa jualan hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB naik satu sen untuk mencatatkan RM5.40, TNB menambah empat sen menjadi RM8.18, Maybank dan Public Bank masing-masing susut satu sen pada RM8.54 dan RM4.33, Petronas Chemicals turun lima sen menjadi RM8.58 manakala IHH Healthcare lemah tujuh sen pada RM6.03.



Bagi saham aktif, Velesto meningkat setengah sen kepada 12 sen, Jaya Tiasa mengembang 4.5 sen untuk mencatatkan harga pada 59.5 sen, Vinvest Capital tidak berubah pada 20 sen dan Top Glove turun dua sen kepada 70.5 sen, manakala Careplus dan Supermax merosot satu sen setiap satu kepada 39.5 sen dan 83.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 1.32 mata kepada 10,042.65, FBM 70 peroleh 16.71 mata menjadi 11,974.33, Indeks FBMT 100 turun 3.18 mata kepada 9,787.54, Indeks FBM Emas Syariah lemah 2.62 mata kepada 10,042.32 dan FBM ACE menguncup 16.82 mata kepada 4,708.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.40 mata kepada 16,170.58, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.83 mata menjadi 171.62, Indeks Perladangan lebih kukuh sebanyak 52.32 mata kepada 6,730.44, dan Indeks Tenaga meningkat 5.90 mata untuk mencapai paras 669.34.

Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker