Ramai bekas Presiden kecam penyokong Trump serang Kongres

07/01/2021 02:32 PM

WASHINGTON, 7 Jan — Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengecam insiden serbuan di Capitol AS oleh penyokong Presiden Donald Trump ketika Kongres bermesyuarat untuk mengesahkan undian elektoral, lapor Agensi Anadolu.

Presiden ke-43, George W. Bush, dalam satu kenyataan menyifatkan kejadian itu “jelik dan mengecewakan.”

“Saya dan Laura menyaksikan adegan kekacauan terhadap simbol kuasa kerajaan kita dengan rasa tidak percaya dan kecewa. Ia jelik dan menyedihkan. Ini adalah bagaimana keputusan pilihan raya dipertikaikan di ‘republik pisang’ – bukan negara republik demokratik kita,” kata bekas presiden Republikan itu.



Sementara itu, Barack Obama mengkritik Trump atas keganasan itu dan menyifatkan pencerobohan itu sebagai “penghinaan besar” dan “memalukan” AS.

“Sejarah pasti tercatat bahawa keganasan di Capitol hari ini, dihasut oleh presiden yang terus menegakkan benang basah mengenai keputusan pilihan raya yang sah, sebagai suatu detik penghinaan dan memalukan negara kita.

“Tapi memang kita akan menipu diri sendiri, jika kita menganggap pelakuan ini sebagai perkara yang benar-benar mengejutkan,” kata pemimpin Demokrat itu.

Bill Clinton pula berpendapat peristiwa itu ‘serangan yang belum pernah berlaku ke atas Capitol, Perlembagaan, dan negara kita.’



“Serangan itu didorong oleh racun politik sejak lebih empat tahun yang secara terancang menyebarkan maklumat salah, menyemai rasa tidak percaya terhadap sistem kita, dan menjadikan rakyat Amerika saling bermusuhan.

“Perseteruan ini dinyalakan Donald Trump dan penyokong taksubnya, termasuk ramai lagi yang berada di Kongres, bertujuan membatalkan keputusan pilihan raya yang beliau tewas,” kata bekas presiden Demokrat itu.

Clinton berkata pilihan raya 3 November adalah bebas dan penggubal undang-undang harus “menyelesaikan peralihan kuasa secara aman mengikut mandat Perlembagaan kita.”

Seorang lagi bekas presiden dari Parti Demokrat, Jimmy Carter, berkata serangan itu adalah ‘tragedi negara dan bukan sikap kita sebagai sebuah negara’.

“Kami bersama rakyat mendoakan penyelesaian aman, moga negara kembali pulih dan peralihan kuasa dapat disempurnakan,” kata presiden AS ke-39 itu.

Kongres AS sahkan kemenangan Biden

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker