RUMAH PPR – PELAKON VETERAN TAWIL AKHIRNYA BAKAL BERPINDAH BULAN DEPAN

Pelakon veteran, Tawil atau nama sebenar, Abu Bakar Ahmad, 68, akhirnya mendapat berita gembira apabila bakal berpindah ke rumah baharu selepas dijanjikan sebuah unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Sri Aman, Kepong, untuk didiami yang sebelum ini ‘senyap’ sehingga tahun baharu tiba.

Tawil bersyukur urusan kemasukan ke rumah baharu selepas majlis penyerahan tawaran yang dihadirinya, September lalu, selesai. Menurut pelakon filem Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga dan Penyamun Tarbus ini, dia dijangka berpindah ke PPR Sri Aman, bulan depan.

“Saya sudah mengambil kunci rumah, kelmarin. Semalam, saya selesaikan bayaran penyelenggaraan rumah termasuk deposit elektrik dan air. Mujur ada kereta untuk ulang-alik menyelesaikan urusan ini dari Serendah ke Kuala Lumpur. Kalau tiada aral melintang, saya dan isteri akan memasuki rumah baharu pada minggu pertama, bulan depan,” katanya.



Tawil mengaku pada mulanya tidak keruan dan keliru mengenai proses kemasukan ke rumah baharu lambat: “Apabila saya mengadu kepada BH, baru pihak terbabit selesaikan urusan itu.

“Sebelum ini, saya seperti bola ditendang ke sana dan ke mari. Saya jadi tenggelam punca apa sebenarnya masalah itu. Saya bukanlah mengada-ngada atau mahu ‘berdrama’, tapi, hanya menuntut hak,” tuturnya.

Tawil mendakwa, Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudah menyelesaikan bayaran sebanyak RM35,000 untuk unit PPR yang diperolehnya, Oktober lalu.

“Saya sudah menandatangani dokumen dan terima perjanjian jual beli rumah, awal Disember. Disebabkan itu, saya tidak lagi menerima bantuan bulanan LZS,” jelasnya yang sebelum ini dibantu LZS membayar rumah sewa di Serendah yang diduduki sejak 2015.



Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

Ketika ini, Tawil mengaku tidak bekerja: “Tawaran berlakon jauh sekali… Dahulu, sebelum pandemik COVID-19, ada tawaran mengajar main kompang. Pendek kata, macam-macam kerja saya buat.

“Saya pernah menjual nasi ayam dan membuka kafe di Kajang. Isteri yang juga penjawat awam, sudah pencen,” katanya yang pernah bekerja dengan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia, Kuala Lumpur pada era 1960-an.



Mengenai persiapan memasuki rumah baharu, Tawil hanya menyediakan barangan keperluan: “Saya utamakan keperluan penting. Apabila mendiami rumah baharu, saya dekat dengan kawan-kawan.

“Selama ini, tinggal di Serendah memang jauh daripada kawan yang kebanyakan menetap di ibu kota. Apabila sudah berpindah ke Kepong, dapatlah sama-sama membantu kawan artis veteran lain,” ujarnya.

Rumah PPR yang bakal didiami Tawil adalah inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk golongan penggiat seni veteran yang tidak berkemampuan.

Seramai 25 orang penggiat seni veteran menerima surat tawaran unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin yang diusahakan oleh FINAS dan KPKT pada awal September lalu.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button