Subkontraktor LRT3 terpaksa ‘korek’ modal laksana projek

Pembinaan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3)

KUALA LUMPUR: Subkontraktor khususnya syarikat pembinaan milik Bumiputera yang terbabit dalam projek Laluan Transit Ringan 3 (LRT3) terpaksa menggunakan dana dalaman dan pinjaman bank untuk membiayai kerja pembinaan projek infrastruktur mega berkenaan.

Ini selepas pembayaran yang sepatutnya diterima, belum dilunaskan oleh Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gabungan AQRS Bhd (AQRS), Datuk Azizan Jaafar, berkata syarikat terpaksa memikirkan sumber kewangan lain untuk membiayai kerja-kerja pembinaan LRT3 bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, kelewatan bayaran oleh Prasarana kepada kontraktor turnkey projek LRT3, MRCB-George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) memberi kesan besar kepada syarikat subkontraktor seperti AQRS kerana ia memerlukan sumber kewangan yang besar bagi membiayai kerja-kerja LRT3 dan gaji pekerja.



“Pekerja AQRS untuk projek LRT3 membabitkan tenaga hampir 400 orang. Jadi untuk meneruskan kelangsungan projek dan gaji pekerja, kami pelu mengeluarkan duit syarikat dan membuat pinjaman bank.

“Kami tidak mahu membebankan pekerja dengan isu kewangan yang dihadapi disebabkan kelewatan bayaran yang berlaku. Kami juga tidak boleh mengurangkan pekerja.

“Selain memikirkan ‘periuk nasi’ syarikat, kami juga perlu menjaga kebajikan pekerja kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelewatan bayaran kepada MRCBGK sehingga menjejaskan aliran tunai syarikat subkontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pembinaan LRT3. AQRS adalah syarikat pembinaan Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Malaysia.



Mengulas lanjut, Azizan berkata, dakwaan Pengerusi Prasarana berhubung tiada penangguhan bayaran kepada MRCBGK adalah tidak tepat dan sesuatu yang tidak boleh diterima subkontraktor projek LRT3.

Katanya, kenyataan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media baru-baru ini berkemungkinan tidak berlandaskan fakta yang betul dan ia tidak mengambarkan perkara sebenar dihadapi Kontraktor Pakej Kerja (WPC).

“Memang kami tidak mendapat bayaran kerana MRCBGK juga tidak memperoleh bayaran seperti didakwa,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengetahuannya, pembayaran yang dikatakan Prasarana adalah untuk kerja-kerja berakhir Jun 2020, manakala bagi kerja-kerja bagi Julai hingga Oktober 2020 belum dilunaskan.

“Tuntutan bagi kerja-kerja yang dilaksanakan akan diserahkan setiap bulan. Pembayaran yang disahkan oleh perunding bebas dilantik Prasarana iaitu KL Prima Consult Sdn Bhd bagi Julai hingga Oktober sudah ada tetapi bayaran belum dilunaskan.

“Bagi kerja-kerja untuk tempoh Julai hingga Oktober 2020, bayaran yang perlu diterima AQRS adalah sekitar RM60 juta,” katanya.

Azizan berkata, tiada isu kerja tertangguh akibat daripada kelewatan bayaran kepada AQRS kerana syarikat masih melaksana kerja-kerja mengikut program kerja yang dipersetujui oleh MRCBGK.

“Saya ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana mengambil berat perkara ini.

“Muhyiddin dan Tengku Zafrul banyak membantu mempercepatkan proses pembayaran. Saya difahamkan bayaran tertangguh berkemungkinan akan dilunaskan pada Jumaat (hari ini) membabitkan separuh daripada jumlah keseluruhan lebih RM700 juta. Saya amat berharap perkara ini tidak lagi berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Trans Resources Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Aziz Mohamad, berkata syarikatnya juga terpaksa menangguhkan pembayaran kepada pembekal dan subkontraktor susulan kesukaran aliran tunai yang dihadapi.

“Kami terpaksa menggunakan rizab syarikat dan pembiayaan institusi kewangan untuk membiayai kerja-kerja kami. Bagi bahagian kontrak kami, Trans Resources Corporation perlu menyiapkan kerja dengan anggaran nilaian berjumlah RM16 juta setiap bulan.

“Jadi, jika bayaran terlewat tiga bulan, anggaran jumlah kemerosotan modal kami berjumlah hampir RM50 juta. Ini tentunya satu jumlah yang besar dan membabitkan kesukaran aliran tunai serta operasi syarikat,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker