Tahanan kes tembak PGA bukan lolos, tapi dibebaskan

 

ALOR SETAR: Polis Kedah menyangkal laporan yang tular di media sosial berkaitan dua suspek disyaki terbabit kes tembak anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 pada 12 November lalu meloloskan diri daripada tahanan polis.

Laporan yang tular itu juga mendakwa suspek disyaki mempunyai senjata api dan cuba meloloskan diri ke Thailand.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad mengesahkan kedua-dua suspek tidak meloloskan diri sebaliknya dibebaskan oleh polis kerana tiada arahan penahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dibenarkan oleh mahkamah.

Katanya, susulan insiden tahun lalu di sempadan Malaysia-Thailand yang menyebabkan kematian anggota PGA dan seorang parah, Polis Kedah berjaya kenal pasti dan menahan 15 suspek yang disyaki terbabit.

“Hasil siasatan dilakukan, dua daripada mereka disyaki terbabit dengan kes tembakan itu selain turut dipercayai terbabit dengan kes penyeludupan ketum selain pencerobohan dan khianat di sempadan Malaysia-Thailand Bukit Kayu Hitam,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sapii berkata, permohonan reman bagi kes penyeludupan ketum dan menceroboh sempadan ditolak mahkamah masing-masing pada 6 dan 7 Januari 2021, manakala siasatan kes melepaskan tembakan membabitkan anggota PGA, sudah selesai dijalankan.

Malah, kertas siasatan berhubung kes tembakan itu juga katanya sudah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwaraya Negeri dan pihaknya masih menunggu arahan bagi pertuduhan kes di mahkamah.

Tambahnya, disebabkan tiada arahan penahanan reman dibenarkan oleh mahkamah, kedua-dua mereka kemudian dibebaskan.

Leave a Reply