Villa mangsa terbaru COVID-19

LONDON: Pertemuan Piala FA antara Aston Villa dan Liverpool belum diputuskan selepas virus COVID-19 menular di kelab Birmingham itu.

Perlawanan di Villa Park berisiko ditunda susulan sebahagian besar pemain skuad utama dan kakitangan didapati positif, dengan kelab menutup padang latihan mereka.

“Pengesahan akhir akan dibuat esok (hari ini) bergantung kepada keputusan ujian tambahan COVID-19,” kata Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) semalam.

Villa adalah pasukan Liga Perdana keempat dilanda penularan COVID-19, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan liga tertinggi Inggeris itu menamatkan saingan musim ini mengikut jadual.



Mereka terpaksa membatalkan latihan dan menutup padang latihan selepas dua pusingan ujian menghasilkan beberapa keputusan positif dalam kalangan pemain dan kakitangan.

Walaupun England kembali melaksanakan perintah berkurung Rabu lalu, kerajaan British berkata sukan elit berkenaan boleh diteruskan.

“Perbincangan sedang diadakan antara wakil perubatan kelab, Persatuan Bolasepak dan Liga Perdana,” kata Villa dalam satu kenyataan.

Perlawanan Piala FA antara Southampton dan Shrewsbury sudah ditunda kerana beberapa kes positif di kelab League One itu.



Derby kendalian Wayne Rooney akan turun dengan skuad muda menentang Chorley selepas beberapa pemain utamanya positif COVID-19.

Selasa lalu, 40 kes positif dikesan dalam kalangan pemain dan kakitangan Liga Perdana bagi tempoh antara 28 Disember hingga 3 Januari. – AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button