20 pengguna jalan raya terkandas 7 hari dekat Lipis
JERANTUT: Seramai 20 orang daripada lima keluarga terkandas di Kampung Bukit Kapor, Cheka dekat Lipis sejak 3 Januari lalu, apabila perjalanan mereka ke destinasi masing-masing tersekat disebabkan jalan tutup berikutan banjir.
Seorang mangsa yang dihubungi BH, Mohd Hafizzi Mohd Rashed, 36, berkata beliau sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu Kelantan ke Jerantut.
“Sepanjang perjalanan, hujan lebat dan terdapat beberapa kawasan yang dinaiki air tetapi tiada maklumat mengenai laluan berkenaan ditutup.
“Sewaktu tiba di persimpangan jalan ke Benta dan Jerantut, saya melihat banyak kenderaan melaluinya dan yakin untuk meneruskan perjalanan.
“Bagaimanapun apabila tiba di kampung Bukit Kapor, Cheka saya dimaklumkan pengguna jalan raya lain, jalan di hadapan kami sudah ditenggelami air malah ada kereta yang turut tenggelam,” katanya.
Mohd Hafizzi yang bertugas di di Sekolah Tunas Bakti, Jerantut berkata dia cuba berpatah balik ke Kuala Lipis tetapi laluan disekat dengan limpahan banjir yang kelihatan sangat deras.
“Saya kemudiannya mencari ke surau dan kedai makan berdekatan sebelum menemui sekitar 20 mangsa lain yang turut terkandas.
“Kami jangka akan meneruskan perjalanan apabila air surut tetapi malangnya terkandas di sini sejak 3 Januari lalu,” katanya.
Mohd Haffizi berkata, dia dan mangsa lain masih mampu bersyukur kerana dibantu pemilik kedai makan, Azmi Sallehudin, 60 yang membantu menyediakan penempatan di surau dan makan minum semua mangsa yang terkandas.
Sementara itu seorang lagi mangsa, Muhammad Bazri Ibrahim 36, terkandas di situ bersama isterinya Norhidayah Hashim, 36, dan anak Muhammad Amnan Haris, sembilan bulan.
“Saya menghabiskan cuti di kampung di Kota Bharu Ahad lalu dan sepatutnya kembali bertugas di Kem Batu 3, Temerloh.
“Kami berdoa banjir cepat surut, apatah lagi kami ada anak kecil dan keperluan bayi sudah habis,” katanya.