COVID-19: Brazil kini catat lebih 200,000 kematian
08/01/2021 11:29 AM
SAO PAULO, 8 Jan — COVID-19 di Brazil setakat ini sudah meragut lebih 200,011 nyawa hanya 10 bulan selepas kematian pertama akibat virus itu dilaporkan.
Berada di belakang Amerika Syarikat (AS) dalam jumlah kematian, Brazil belum mengemukakan sebarang rancangan vaksinasi, lapor Agensi Anadolu.
Brazil kini berdepan kenaikan jumlah pesakit di hospital dan kematian yang menurut pakar boleh menjadi fasa terburuk.
Jumlah jangkitan dan kematian baharu di negara ini tidak pernah reda.
Baru-baru ini, Presiden Jair Bolsonaro mula mengesyorkan pemberian vaksin tetapi ia tidak akan diwajibkan.
Pengumuman Presiden itu dilihat sebagai kemenangan politik bagi Gabenor Sao Paulo Joao Doria.
Tidak seperti kerajaan persekutuan, Doria bergerak lebih pantas untuk mengimport dan menghasilkan vaksin.
Beliau berkata program vaksinasi akan bermula 25 Januari, tetapi pengawal selia tempatan ANVISA belum membenarkan penggunaan kecemasan. Permohonan rasmi untuk mendapatkan kebenaran akan segera dikemukakan pada Jumaat.
Menurut kerajaan negeri Sao Paulo keberkesanan vaksin adalah 78 peratus untuk gejala ringan dan 100 peratus bagi kes serius.
Kira-kira 13,000 sukarelawan menyertai ujian klinikal yang bermula pada Jun lalu. Data mengenainya diserahkan kepada ANVISA pada Khamis.