Ekonomi AS alami penguncupan ketara pada suku pertama

08/01/2021 03:42 PM

WASHINGTON, 8 Jan — Ekonomi Amerika Syarikat (AS) kemungkinan mengalami penurunan ketara atau penguncupan pada suku pertama 2021, kata seorang pegawai kanan Rizab Persekutuan pada Khamis, lapor Agensi Berita Xinhua.

“Pada peringkat nasional, ketika ini, saya menjangkakan pertumbuhan sederhana pada suku keempat tahun lalu, sebelum pertumbuhannya ketara perlahan pada suku pertama tahun ini – kemungkinan juga pertumbuhan negatif,” kata Presiden Bank Rizab Persekutuan Philadelphia, Patrick Harker dalam acara maya anjuran Philadelphia Business Journal.



“Berita baiknya, kelemahan itu mungkin sementara – kerana kita semua berharap vaksinasi COVID-19 akan lebih meluas,” katanya.

Namun pergerakan vaksinasi di Amerika Syarikat “setakat ini sangat mengecewakan”, kata Harker.

“Kurang daripada lima juta orang telah menerima dos pertama vaksin – belum mencecah dua peratus daripada jumlah penduduk kita,” katanya.

Harker juga mengatakan pakej bantuan US$900 juta yang diluluskan Kongres baru-baru ini akan membantu meningkatkan ekonomi AS, apabila “mula kelihatan lebih normal” pada separuh kedua 2021.



“Pertumbuhan KDNK (keluaran dalam negara kasar) perlu kukuh pada separuh kedua tahun ini, dan hingga 2022, sebelum menguncup sedikit pada 2023,” katanya.

Harker membuat kenyataan itu kerana pemulihan ekonomi AS kehilangan momentum berikutan lonjakan kes baharu COVID-19 di seluruh negara dalam beberapa bulan terakhir.

“Walaupun jumlah jangkitan dan kematian menurun pada bulan yang lebih panas, kes kembali meningkat sejak September. Jumlah kematian lebih tinggi berbanding semasa gelombang pertama COVID-19 musim bunga lalu,”katanya.

Kematian COVID-19 AS melepasi 364,000 pada Khamis petang, dengan jumlah kes nasional mencecah 21.4 juta, menurut Johns Hopkins University.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button