EU gandakan pembelian vaksin COVID-19 BioNTech/Pfizer
08/01/2021 07:32 PM
BRUSSELS, 8 Jan — Kesatuan Eropah (EU) akan membeli 300 juta lagi dos vaksin COVID-19 keluaran firma bioteknologi BioNTech/Pfizer, lapor Agensi Anadolu.
Presiden Suruhanjaya Eropah (EU) Ursula von der Leyen pada Jumaat berkata menerusi kontrak baharu, EU akan membeli 200 juta dos dengan pilihan untuk menambah 100 juta dos, sebagai tambahan kepada 300 juta dos yang dipersetujui sebelum ini.
“75 juta dos akan tersedia pada suku kedua tahun ini, dan selebihnya pada suku ketiga dan keempat,” kata von der Leyen kepada media.
“Tanpa melabur untuk meningkatkan kemampuan kita sejak mula, kita tidak akan dapat menggandakan jumlah vaksin,” tambahnya.
Beliau berkata EU membuat perjanjian dengan enam syarikat farmaseutikal – Pfizer/BioNTech, Moderna, AstraZeneca, CureVac, Johnson & Johnson dan Sanofi / GlaxoSmithKline.
“Jika semuanya berhasil, 2.3 bilion vaksin akan tersedia. Ia lebih mencukupi untuk kita.Kita seharusnya tidak memikirkan diri sendiri sahaja tetapi juga negara lain,” katanya.
Setiap anggota EU masih perlu meluluskan perjanjian baharu vaksin itu.