JAIS sediakan panduan bantu misi banjir

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menggariskan panduan khas misi bantuan kepada mangsa banjir supaya pelaksanaannya dapat diselaraskan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata misi bantuan oleh semua pengurusan masjid hendaklah dibuat dengan kerjasama atau makluman rasmi secara bertulis kepada Bahagian Pengurusan Masjid, JAIS.

“Misi bantuan oleh Masjid Institusi, Masjid Kariah, Surau Kebenaran Jumaat dan Surau Kariah hendaklah dibuat dengan memohon kebenaran rasmi dari Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing.

“Bagi permohonan ini, pihak terbabit perlu mengemukakan maklumat seperti lokasi atau tempat terperinci untuk penyaluran bantuan, bentuk bantuan yang akan disalurkan, tempoh berada di lokasi bantuan, jawatankuasa atau anggota atau pihak lain yang menyertai misi.



“Mereka juga perlu mendapatkan kebenaran dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) jika peraturan semasa menetapkan syarat sedemikian dan yang penting pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS menyedari pelbagai usaha mula digerakkan oleh beberapa masjid, surau serta badan bukan kerajaan untuk menyampaikan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri terjejas.

Bagaimanapun katanya, semangat untuk membantu perlu juga diimbangkan dengan semangat mengawal penularan COVID-19.

Dalam pada itu katanya, JAIS turut menyediakan mekanisme kutipan untuk misi bantuan mangsa-mangsa banjir terbabit.



“Ini termasuk bantuan untuk institusi masjid dan surau yang terjejas melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI), Akaun Maybank 562106-718620.

“JAIS akan mengaturkan proses penyerahan sumbangan pada kadar segera melalui agensi berautoriti yang dihubungi di negeri berkenaan sebagai perantara misi bantuan agar keperluan sebenar yang diperlukan dapat diberi.

“Pada masa sama, usaha ini dapat mengekang pihak tertentu dari mengambil kesempatan memanipulasi keadaan sukar ini untuk kepentingan yang lain,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker