Jangan pandang rendah keupayaan pasukan lain – Elavarasan


E. Elavarasan

08/01/2021 03:19 AM

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Sarawak United FC tidak memandang rendah cabaran pasukan lain dalam saingan Liga Premier musim ini walaupun pasukan berkenaan diperkuatkan dengan kehadiran beberapa bekas pemain kebangsaan dan pemain berpengalaman.

Ketua jurulatih pasukan berkenaan E. Elavarasan mengakui kehadiran dua bekas pemain kebangsaan iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Christie Jayaseelan telah menambah kekuatan pasukan tersebut dalam membawa cabaran untuk liga musim ini.

“Sudah tentu di atas kertas, kami sudah mempunyai satu pasukan yang amat baik di segenap posisi malahan kehadiran pemain import yang semuanya berpengalaman pernah bermain di Liga Malaysia, diharap akan banyak memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan.

“Mungkin ramai sedang melihat Sarawak United FC selain Negeri Sembilan antara dua pasukan pilihan utama, namun saya tidak mahu berasa sedemikian memandangkan persiapan pasukan lain tidak kurang hebatnya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia hari ini.

Selain dua pemain berkenaan, Sarawak United FC turut diperkuatkan dengan kehadiran dua bekas pemain import Selangor iaitu Sandro da Silva dari Brazil dan Taylor Regan dari Australia, serta beberapa pemain tempatan berpengalaman seperti Muhammad Amer Saidin, Khair Muhammad Jefri Jones, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra dan Haziq Aris.

“Jangan pandang rendah keupayaan pasukan Kuching FA, Kelantan, Kelantan United dan PDRM yang pasti juga mahukan slot ke Liga Super pada 2022 apabila turut memperkuatkan pasukan dengan pemain-pemain baharu. Jangan buat perbandingan dengan pemain yang kami miliki untuk meletakkan kami sudah berada di atas landasan selesa berbanding pasukan lain,” tegas Elavarasan.

Pengendali berusia 56 tahun itu turut dibantu bekas jurulatih kebangsaan B. Satianathan yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal Sarawak United FC.

Sarawak United FC berada pada kedudukan ke-10 daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Premier musim lepas menerusi kutipan 11 mata daripada 11 perlawanan (tiga kemenangan, dua keputusan seri dan enam kekalahan).

Saingan Liga Premier 2021 bakal membuka tirai pada 28 Feb ini.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker