Kisah ‘Flying Doctor’ Malaysia bawa obor Olimpik di NHK World


Tan Sri Dr M. Jegathesan

07/01/2021 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Legenda olahraga negara Tan Sri Dr M. Jegathesan diberi penghormatan menceritakan kisahnya dalam episod terbaru siri pembawa obor Sukan Olimpik Tokyo 1964 yang disiarkan oleh syarikat penyiaran Jepun, NHK World.

Dalam siaran khas selama empat minit bertajuk ‘Legasi Olimpik 1964: Menyalakan Harapan Malaysia’ itu, Dr Jegathesan berkata acara larian berganti-ganti membawa obor Olimpik di Stadium Merdeka yang bersejarah pada ketika itu membantu ‘menyatukan negara pengemar sukan yang masih muda.’

Dr Jegathesan yang kini berusia 77 tahun mengimbas kembali ingatannya ketika beliau menyaksikan pengisytiharan kemerdekaan negara pada 1957, mendengar lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dan menyaksikan bendera kebangsaan dinaikkan untuk pertama kali, nalurinya menyatakan bahawa pada suatu hari beliau akan menaiki rostrum sambil lagu ‘Negaraku’ dimainkan untuknya.

Pelari pecut yang digelar ‘Flying Doctor’ itu kemudian merealisasikan impiannya itu sebanyak 11 kali dengan memenangi pelbagai pertandingan sukan di seluruh dunia, termasuk dua kali menjadi juara di Sukan Asia selain bertanding di Olimpik sebanyak tiga kali.

Semasa zaman kegemilangannya pada 1960-an, yang merupakan era keemasan sukan olahraga Malaysia, Dr Jegathesan dinobatkan sebagai lelaki terpantas di Asia dan telah mendapat penghormatan sebagai penerima anugerah Olahragawan Kebangsaan pada 1966.

Rekod kebangsaan acara larian 100 dan 200 meter yang dicipta Dr Jegathesan bertahan selama 30 dan 49 tahun. Beliau juga merupakan doktor, penyelidik dan pentadbir sukan yang terkenal setelah bersara dari sukan olahraga.

Siri imbasan semula itu boleh ditonton di laman web syarikat penyiaran televisyen Jepun itu di alamat:

https://www3.nhk.or.jp/nhkworld/en/news/videos/20210106211622444/.

Sukan Olimpik 1964 di Tokyo adalah edisi pertama sukan itu diadakan di Asia, sementara penganjuran kali kedua temasya itu di negara Matahari Terbit itu tahun lepas ditangguhkan hingga 23 Julai ini kerana wabak COVID-19.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker