Aaron takut dikecam bawa watak lelaki songsang

Mengharapkan tidak menerima kecaman kerana kesanggupan membawakan watak lelaki songsang menerusi drama Suamiku Lelaki Pendosa, Datuk Aaron Aziz, 45, hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon.

Hampir dua dekad bergelar pelakon dan sudah menjayakan ratusan drama, ini kali pertama menerima naskhah berat seperti itu.

Bagi mencabar diri, aktor kelahiran Singapura itu bersetuju menerima tawaran berkenaan.

Keluarga terutama isterinya, Datin Diyana Halik bukan sahaja teruja apabila suaminya ditawarkan watak berbeza, namun, tidak sabar menyaksikan lakonannya di sisi ‘teman wanita’ lakonan Gambit Saifullah.



“Apabila beritahu isteri mengenai tawaran membawakan watak lelaki songsang, Diyana teruja mahu menonton. Isteri teringin melihat saya membawakan watak berbeza berbanding karakter yang dibawakan sebelum ini.

“Selain isteri, anak-anak juga sangat terbuka. Jika keluar bekerja, mereka akan tanya saya pergi ‘shooting’ untuk drama polis atau lelaki songsang.

“Mereka bukan seperti zaman saya dahulu. Remaja zaman ini lebih terbuka, malah, saya yakin ramai semakin terbuka kerana sudah terbiasa bertemu dan berkawan dengan lelaki lembut.

“Ia juga sudah menjadi satu norma dalam kehidupan sekarang ” katanya.



Bagaimanapun, Aaron berkata, kesediaannya menerima watak Dean Ilyas bukanlah kerana menyokong komuniti songsang.

Tambahan pula, drama Suamiku Lelaki Pendosa hanyalah adaptasi daripada novel Imanku Lelaki Pendosa tulisan Umie Nadzimah.

“Mungkin ada yang akan mengecam menyokong komuniti lesbian, gay, biseks dan transeksual (LGBT). Atau mungkin ada berpandangan kami sengaja mahu mempersendakan komuniti ini, jadi, mereka perlu menonton terlebih dahulu drama ini.

“Kepada netizen yang mahu mengecam, kena ingat kami hanyalah pelakon. Kisah diketengahkan diambil daripada novel, jadi jangan meletakkan kesalahan kepada kami. Lagipun, ia bukan kisah benar.



“Cuma, kita kena akur budaya songsang bukanlah sesuatu baru dalam masyarakat. Sebaliknya, budaya ini berlaku dalam kehidupan hari ini,” katanya.

 

Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading