Rukun Negara asas perpaduan, pembinaan negara bangsa

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama, iaitu
membentuk perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat dan menjadi identiti rakyat Malaysia. – Gambar hiasan

 

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

Rukun Negara diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang mengganggu-gugat perpaduan etnik di Malaysia. Tragedi 13 Mei 1969 berpunca daripada kempen pilihan raya yang menimbulkan isu perkauman sensitif.

Seperti diperkatakan Tun Tan Siew Sin, pilihan raya membuktikan cara paling mudah untuk memancing undi adalah dengan mengapi-apikan isu perkauman.



Tercetusnya tragedi 13 Mei didakwa berpunca perasaan tidak puas hati antara satu sama lain kerana orang Melayu jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Keistimewaan diberikan kepada Melayu juga mengakibatkan etnik lain terasa dianaktirikan dan peluang ekonomi mereka terancam.

Ini menjelaskan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat mengenai kedudukan istimewa orang Melayu, Islam, bahasa Melayu, institusi beraja dan kewarganegaraan sehingga menimbulkan konflik berpanjangan jika tidak ditangani dengan baik.

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama, iaitu membentuk perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat dan menjadi identiti rakyat Malaysia.



Antara matlamat Rukun Negara ialah mewujudkan masyarakat Malaysia ke arah mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat. Bagi mencapai matlamat ini, digariskan lima prinsip Rukun Negara yang perlu difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat. Satu daripadanya adalah Keluhuran Perlembagaan.

Keluhuran Perlembagaan bermaksud setiap rakyat perlu dan wajar menerima Perlembagaan adalah sumber undang-undang tertinggi dan setiap individu perlu mematuhi keluhurannya.

Perlembagaan adalah sumber rujukan tertinggi bagi segala hal berkaitan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat.

Peranannya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat mengenai hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai dan memahami maksud serta kandungan dan latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan.



Perlembagaan Persekutuan digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini yang dikenali sebagai kontrak sosial. Menerusi kontrak sosial ini, orang bukan Melayu diberikan hak kewarganegaraan yang longgar berasaskan prinsip jus soli.

Orang Melayu pula diperuntukkan dalam Perlembagaan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta kedudukan Raja-Raja Melayu atau apa yang dipanggil sebagai tiang seri dalam Perlembagaan.

Penggunaan istilah tiang seri Perlembagaan lebih tepat dan wajar kerana isu agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sering menjadi konflik dalam masyarakat.

Ia menggambarkan pentingnya perkara ini dihayati supaya tidak timbul sebarang pertikaian dalam pelbagai etnik di Malaysia dan berbezanya perkara ini dengan Perlembagaan yang ada di negara lain.



Dari perspektif hubungan etnik di Malaysia, perkara yang dianggap menguntungkan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan diimbangi dengan peruntukan lain yang juga memberi kelebihan kepada etnik bukan Melayu.

Perkara yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan diimbangi dengan peruntukan kebebasan bagi setiap rakyat menganut dan mengamalkan apa-apa agama dalam suasana aman dan harmoni.

Begitu juga perkara yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, juga diimbangi dengan peruntukan bahawa tidak ada seorang pun yang boleh dilarang daripada menggunakan (melainkan bagi maksud rasmi) atau mengajar atau mempelajari apa-apa bahasa lain.

Hal sama juga berlaku ke atas perkara yang menetapkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak diimbangi dengan peruntukan bahawa kerajaan tidak boleh melucut, menarik balik atau menyebabkan hak kaum lain terhakis.



Maka, perkara ini perlu difahami setiap lapisan masyarakat, khususnya generasi muda supaya sentiasa berlapang dada dalam sesuatu isu membabitkan bahasa Melayu, Islam dan orang Melayu dalam Perlembagaan.

Ini seperti pernah dinyatakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-215, iaitu Islam dan orang Melayu adalah asas utama pembentukan Malaysia.

Justeru, konsep memasyarakatkan Perlembagaan di bawah payung Keluhuran Perlembagaan perlu digembar-gemburkan.

Konsep memasyarakatkan Perlembagaan ini bererti masyarakat perlu didedahkan Perlembagaan bukan hanya dari aspek perundangan semata-mata, tetapi dari perspektif sejarah, budaya, agama, politik, undang-undang dan hubungan etnik.



Ini dinyatakan Laporan Suruhanjaya Reid yang menekankan pentingnya mengambil kira faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud pada 1957 dalam merangka Perlembagaan.

Program Pemekaan Kontrak Sosial perlu dilaksanakan bertujuan mewujudkan kepekaan rakyat Malaysia terhadap pengetahuan dan kefahaman mengenai kontrak sosial.

Ini boleh dilakukan menerusi kerjasama jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti serta pihak swasta dengan mengambil kira faktor di atas.

Untuk itu, penekanan perlu diberikan kepada rasional kenapa sesuatu peruntukan itu termaktub dalam Perlembagaan.

Penekanan kepada rasional sesuatu perkara itu lebih menyebabkan masyarakat mudah menerima kerana masyarakat sekarang lebih terdedah dengan sesuatu isu melalui media sosial dan mempunyai pemikiran yang kritis dan terbuka terhadap sesuatu isu.

Tuntasnya, rakyat perlu bersama menghayati maksud Keluhuran Perlembagaan sebagai asas perpaduan dan pembinaan negara bangsa di Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah di Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button