Shalin atlet luar biasa


Shalin Zulkifli

07/01/2021 09:33 PM

Oleh Mazani Chan Yat Sin

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Keputusan ratu tenpin boling negara negara Shalin Zulkifli untuk bersara dari sukan berkenaan jelas memberi kesan mendalam kepada rakan sepasukan yang menyifatkan pemain senior berkenaan seorang atlet luar biasa.

Pemain boling wanita negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman berkata, atlet berusia 42 tahun itu mempunyai aura luar biasa dan sentiasa memberi sokongan moral kepada rakan sepasukan ketika beraksi dalam sesebuah kejohanan.

“Sebab bila dia (Shalin) ada, kita rasa lebih bersemangat, kita tahu dia jenis yang tidak pernah berputus asa dan dia akan sokong rakan sepasukan lain terutamanya apabila mereka gagal mempamerkan balingan cemerlang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berkongsi pandangan sama, rakan sepasukannya Muhammad Rafiq Ismail menyifatkan Shalin seorang senior yang tidak lokek memberi tunjuk ajar walaupun beliau sudah berada dalam kelas tersendiri menerusi kejayaan cemerlang dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

“Sebenarnya saya pun agak terkejut bila dapat tahu kak Shalin bersara kerana beliau merupakan sebahagian daripada keluarga besar tenpin boling.

“…karier setiap orang pasti ada penghujungnya, jadi saya doakan yang terbaik untuk beliau dan saya harap kak Shalin sentiasa doakan perjuangan kami selepas ini,” kata pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2018 itu.

Shalin yang mencipta kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat sepanjang penglibatannya selama 28 tahun di peringkat antarabangsa menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada ketua jurulatih kebangsaan Holloway Cheah, Selasa lepas.

Shalin mula bermain boling ketika berusia sembilan tahun dan pada 1991 beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Muda Harapan Selangor.

Tiga tahun kemudian, beliau memenangi Kejohanan Wanita Kent Malaysian All-Stars 1994 dengan menjadi pemain termuda serta pemain Malaysia pertama melakukannya dan sejak itu beliau tidak berpaling ke belakang dalam sukan yang diminatinya dengan merangkul pelbagai gelaran sama ada di peringkat kebangsaan, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel mahu pun dunia.

Beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002.

Bekas pemain nombor satu Asia itu pernah meraih pingat emas Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali iaitu pada 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Shalin, Nicol, Pandelela kongsi kejayaan dan kegagalan dalam karier

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker