Twitter gantung akaun Trump secara kekal

Gambar fail menunjukkan paparan akaun Twitter, @realDonaldTrump, pada sebuah telefon bimbit. – FOTO AFP

 

SAN FRANCISCO: Twitter menggantung akaun Donald Trump secara kekal, atas alasan risiko berlaku keganasan lebih lanjut susulan insiden penyokong beliau merusuh di Capitol Amerika Syarikat (AS).

“Selepas meneliti ciapan kebelakangan ini daripada akaun @realDonaldTrump, kami telah menggantung akaun itu secara kekal berikutan risiko hasutan keganasan lebih lanjut,” umum Twitter melalui hantaran dalam blog, semalam.

Sebelum ini, Twitter menyekat Trump selama 12 jam selepas kejadian rusuhan yang mengakibatkan kematian di Capitol AS, Rabu lalu, sekali gus memberikan amaran tindakan penggantungan kekal akan diambil jika beliau terus melanggar peraturan ditetapkan.

Trump kembali menggunakan saluran media sosial itu, kelmarin, dengan satu hantaran pesanan video yang dilihat sebagai usaha meredakan keadaan tegang selepas kekacauan dilakukan oleh penyokongnya.

Trump turut mengaku kedudukannya sebagai Presiden AS sedang menuju pengakhiran, dan menjanjikan peralihan kuasa yang lancar kepada Joe Biden walaupun beliau tidak mengucapkan tahniah atau menyebut nama penggantinya.

Menurut Twitter, pihaknya berterusan memantau aktiviti media sosial Trump bagi menentukan sama ada tindakan lebih lanjut perlu diambil.

Sehubungan itu, Twitter menjelaskan, keputusan untuk menggantung akaun Trump diambil susulan dua ciapan, semalam.

Dalam satu ciapan terbabit, Trump berikrar bahawa tiada penyokongnya yang akan ‘tidak dihormati’.

Dalam satu lagi ciapan pula, Trump menyatakan beliau tidak akan menghadiri upacara rasmi peralihan kuasa kepada Biden, 20 Januari ini. seperti kelaziman.

“Dua ciapan terbabit mesti dibaca dalam konteks lebih luas keadaan di negara ini dan cara kenyataan Presiden itu boleh digunakan oleh pelbagai pihak, termasuk untuk menghasut keganasan.

“Begitu juga dalam konteks corak tingkah laku daripada akaun berkenaan sepanjang tempoh beberapa minggu kebelakangan ini,” menurut Twitter.

Syarikat itu memutuskan bahawa ciapan berkenaan melanggar dasarnya berhubung keganasan, dan pengguna akaun @realDonaldTrump harus digantung secara kekal daripada perkhidmatan itu dengan serta-merta.

Malah, Twitter mengesahkan ratusan kakitangannya telah menandatangani sepucuk surat dikemukakan kepada Ketua Eksekutif, Jack Dorsey, yang menyatakan mereka terganggu dengan ‘pemberontakan’ dilakukan penyokong Trump.

Kakitangan terbabit meminta Twitter menilai peranan dimainkan platform itu dalam insiden pada Rabu lalu.

“Twitter menggalakkan dialog terbuka antara kepimpinan dengan kakitangan kami.

“Kami mengalu-alukan pekerja kami untuk menyuarakan sebarang pendapat serta kebimbangan yang dirasakan betul bagi mereka,” kata seorang jurucakap syarikat itu mengenai surat berkenaan. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker